Di sebalik pertelingkahan, emosi anak menjadi taruhan

Family & Parenting
11 May 2026 • 8:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Di sebalik pertelingkahan, emosi anak menjadi taruhan
Isu perceraian tidak boleh dilihat secara terpisah daripada kesannya terhadap anak. Gambar hiasan

PENCERAIAN sering dianggap jalan penyelesaian kepada konflik rumah tangga berpanjangan, namun dalam banyak keadaan, sebenarnya membuka satu dimensi baharu yang jarang diberi perhatian iaitu kesan emosi terhadap proses pembesaran anak.

Dalam masyarakat, tumpuan lazimnya terarah kepada pasangan yang berpisah termasuk aspek hak penjagaan, kestabilan kewangan dan proses undang-undang, sedangkan dalam diam, anak-anak khususnya remaja sedang berdepan perubahan emosi lebih kompleks berpanjangan.

Remaja berada dalam fasa kritikal pembentukan identiti, justeru persekitaran keluarga yang tidak stabil boleh memberi kesan langsung terhadap cara mereka memahami diri, emosi dan hubungan.

Konflik secara terbuka atau berlarutan berisiko menjejaskan rasa selamat yang sepatutnya menjadi asas perkembangan psikologi yang sihat.

Menerusi temubual bersama Pakar Psikiatri dan Pensyarah Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara serta Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM, Dr Nor Hidayah Jaris menjelaskan konflik berpanjangan ibu bapa boleh mencetuskan ketidakstabilan emosi dalam kalangan remaja, termasuk kecenderungan mengalami kemurungan, mudah marah dan terlalu sensitif terhadap persekitaran.

Apa yang membimbangkan, kesan ini tidak sentiasa dizahirkan secara jelas. Ada remaja yang meluahkan tekanan melalui tingkah laku agresif, namun tidak kurang juga memilih memendam emosi sehingga sukar dikesan orang sekeliling.

Dalam situasi tertentu, tekanan yang tidak diurus dengan baik boleh mendorong kepada mekanisme daya tindak tidak sihat seperti mencederakan diri atau melarikan diri daripada realiti.

Lebih daripada sekadar emosi, perceraian turut mempengaruhi pembentukan konsep kendiri remaja. Ada yang mula merasakan diri tidak cukup baik, malah menyalahkan diri atas perpecahan yang berlaku, sekali gus memberi kesan terhadap keyakinan diri serta keupayaan membina hubungan sosial yang sihat.

Dalam masa sama, konflik keluarga turut membentuk persepsi remaja terhadap institusi kekeluargaan itu. Rumah yang sepatutnya menjadi ruang perlindungan boleh bertukar menjadi sumber tekanan, sekali gus mempengaruhi cara mereka melihat komitmen dan hubungan masa depan.

Tidak dapat dinafikan, ada remaja membesar dengan rasa takut untuk mempercayai hubungan, manakala sebahagian lain berisiko mengulangi corak sama kerana menganggap dinamika itu sesuatu yang normal.

Dalam era media sosial hari ini, konflik rumah tangga tidak lagi terhad dalam ruang peribadi, sebaliknya turut dipaparkan secara terbuka kepada khalayak. Bagi sesetengah bekas pasangan, perkongsian itu mungkin dilihat sebagai ruang terakhir untuk meluahkan rasa, mempertahankan diri atau menuntut keadilan.

Namun tanpa disedari, setiap kenyataan, sindiran atau pendedahan dikongsi bukan sahaja diperhatikan orang luar, tetapi turut menjadi bahan dilihat dan ditafsir anak-anak sendiri.

Dalam situasi ini, remaja bukan sekadar menjadi pemerhati, tetapi turut menanggung kesan emosi konflik berpanjangan. Apa dikongsikan mungkin memberi kelegaan kepada orang dewasa, namun kepada anak, berpotensi menambah kekeliruan, tekanan dan luka sukar dipulihkan.

Justeru, kepekaan mengurus konflik secara matang termasuk di ruang digital menjadi tanggungjawab penting bagi memastikan kesejahteraan emosi anak tidak terus terjejas.

Isu perceraian tidak boleh dilihat secara terpisah daripada kesannya terhadap anak. Peranan ibu bapa dan penjaga bukan sahaja terletak pada menyelesaikan konflik, tetapi memastikan anak tidak terperangkap dalam tekanan emosi yang tidak mampu mereka fahami sepenuhnya.

Dalam konteks ini, persoalan perlu diberi perhatian bukan sekadar bagaimana konflik diselesaikan, tetapi sejauh mana kesejahteraan emosi anak dipelihara sepanjang proses tersebut.

Hakikatnya, perceraian mungkin mengakhiri hubungan, namun tanpa pendekatan empati dan bertanggungjawab, ia berpotensi meninggalkan kesan jangka panjang cara seorang anak membesar, memahami emosi dan membina masa depan.

*Nurezzatul Aqmar Mustaza ialah wartawan Lifestyle Pop Family

View Original Article