‘Dia kata belum kahwin’ – Hospital Bersalin Razif beri penjelasan

LocalHealth & Fitness
11 Dec 2024 • 5:13 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Susulan pelbagai spekulasi melibatkan jenazah bayi yang dibekukan oleh sebuah pihak swasta, hospital berkenaan dalam satu kenyataan menjawab segala tuduhan yang dilemparkan.

Menerusi satu kenyataan di Facebook, Hospital Bersalin Razif mengatakan pesakit tersebut tidak pernah mendapatkan pemeriksaan sepanjang mengandung dan hanya memantau kandungan dengan menggunakan aplikasi.

Dalam kenyataan tersebut, hospital itu menjelaskan, wanita berkenaan mengatakan dia dibawa oleh suaminya, namun dimaklumkan selepas itu mereka sebenarnya tidak berkahwin.

Ketika itu juga, hospital menerima pesakit atas dasar kemanusiaan walaupun tidak dibuat pemeriksaan atau sebarang tempahan dibuat. Rawatan dan pemerhatian ke atas pesakit dengan segera dilakukan.

“Wanita itu melahirkan bayi yang mempunyai sindrom Cyclops iaitu mempunyai mata satu, tiada hidung dan tiada lubang dubur.

“Doktor menerangkan keadaan bayi itu kepada bapanya dan meminta untuk melaungkan azan,” katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, lelaki berkenaan telah dimaklumkan mengenai permit pengebumian yang telah ditandatangani, bagaimanapun lelaki berkenaan meninggalkan hospital atas sebab perlu ke tempat lain.

Dalam pada itu, pihak hospital juga menerangkan keadaan wanita itu yang telah dibenarkan keluar dari hospital pada keesokkan hari, namun dia menjelaskan tidak mampu membayar bil sebanyak RM 2,480.

“Pihak hospital sudah memaklumkan boleh dibayar sebaik sahaja urusan pengebumian selesai, namun wanita itu memberitahu hanya menunggu ‘suaminya’.

“Sepanjang wanita berkenaan di hospital, dia telah diberikan khidmat kaunseling serta makanan secara percuma,” katanya.

Pihak hospital juga mendakwa telah menghubungi lelaki berkenaan bagi urusan pengebumian, namun gagal.

“Hospital mencadangkan agar mereka cuba berhubung dengan polis bagi urusan pengebumian, namun pesakit merayu untuk tidak melibatkan polis.

“Wanita berkenaan juga enggan memberikan maklumat keluarganya dan mengatakan hanya menyewa bilik bersama ‘suaminya’,” kata kenyataan itu.

Hospital berkenaan turut menegaskan pihaknya akan kekal komited terhadap ketelusan dan pematuhan dalam semua urusan mereka.

Sementara itu, Unit Khas Van Jenazah memaklumkan pasangan berkenaan sudah berkahwin dan mempunyai bukti sijil pernikahan mereka.