'Dia tidak pernah malu menjadi autistik' – Shila Amzah kongsi kisah Seth Uwais, puji ibu bapa anak istimewa real hero

LocalFamily & Parenting
3 Apr 2026 • 5:22 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

DALAM dunia keibubapaan, setiap anak hadir dengan cerita dan perjalanan tersendiri. Ada yang lancar, ada juga yang penuh cabaran, namun di situlah terletaknya kekuatan sebenar seorang ibu.

Sempena sambutan Hari Autisme Sedunia, penyanyi tersohor Shila Amzah berkongsi kisah yang cukup menyentuh hati tentang anak sulungnya, Seth Uwais, seorang anak istimewa yang semakin menunjukkan perkembangan positif dari hari ke hari.

Menerusi perkongsian di Threads miliknya, Shila meluahkan rasa bangga terhadap kecekalan Seth yang tidak pernah berhenti mencuba untuk menyesuaikan diri dengan dunia sekeliling, khususnya di sekolah.

Dalam nada penuh kasih, dia menulis:

"Selamat hari autisme sedunia.

“Mama dan papa sangat-sangat bangga dengan Seth Uwais. Kepada semua ibu bapa, kalian adalah real super hero!

"Semasa saya menaip ini, Seth sedang berada di sekolah. Dia semakin berkembang, meningkatkan kemahirannya dan mencuba yang terbaik setiap hari untuk menyesuaikan diri (fit in)," kongsi Shila.

Kata-kata itu bukan sekadar luahan, tetapi cerminan perjalanan seorang ibu yang memahami bahawa setiap langkah kecil anaknya adalah satu kemenangan besar.

Apa yang lebih mencuri perhatian, Shila turut mendedahkan sifat terbuka Seth terhadap keadaannya.

Anak kecil itu langsung tidak merasa malu, malah melihat dunia dengan cara yang cukup jujur dan polos. Bagi Seth, perbezaan bukanlah sesuatu yang memisahkan, sebaliknya satu perkara yang biasa.

Menurut Shila, ada kalanya Seth menyangka semua orang di sekelilingnya juga mempunyai ciri yang sama seperti dirinya.

image is not available

Sikap ingin tahu itu diterjemahkan melalui soalan-soalan spontan yang cukup ‘telus’, sehingga ada kalanya mengundang senyuman.

"I think he did an amazing job. Dia tidak pernah malu menjadi autistik, cuma kadang-kadang dia ingat semua orang pun autisme dan dia akan tanya, ‘Awak autisme level berapa?’.

"Tolong jangan terasa hati dengan soalannya, dia masih lagi meneroka,” kongsi Shila sambil berseloroh.

Di sebalik kisah yang mencuit hati itu, terselit satu mesej besar, tentang pentingnya memahami dunia anak-anak istimewa ini dengan lebih empati dan terbuka.

Kasih sayang tanpa syarat

Dalam hantaran sama, Shila yang kini bahagia bersama suaminya, Ubai MZ, turut mengambil peluang untuk memberikan kata-kata semangat kepada ibu bapa lain yang melalui perjalanan serupa.

Baginya, membesarkan anak autisme bukan tugas mudah. Ia menuntut kesabaran, ketabahan dan kasih sayang tanpa syarat yang luar biasa.

“Kepada semua ibu bapa (anak autisme), anda semua adalah super hero yang sebenar!” ujarnya lagi.

Perkongsian tersebut nyata menyentuh hati ramai. Meninjau ruangan komen, rata-rata pengikut memuji cara Shila membesarkan Seth yang dilihat ceria, aktif dan penuh energi.

Malah, foto-foto yang dikongsikan ketika mereka berada di Shanghai turut memperlihatkan sisi Seth yang begitu yakin dan selesa dengan dirinya.

Tidak kurang juga yang berkongsi pengalaman sendiri serta mendoakan agar Seth terus membesar dengan baik:

"Sepanjang terserempak dengan Seth, tak pernah kena soal lagi dengan dia, tapi level tegur tu macam member-member rakan sebaya ye. Moga membesar dengan baik."

"Tak pernah rasa Seth ni budak autism. Saya rasa dia sama je mcm budk normal yang lain. Cuma lambat dari segi percakapan dan lambat untuk hal-hal lain. Tapi nanti dah besar mesti dia akan jdi budak normal semula."

image is not available

"Comelnya soalan dia! i selalu tengok his video through Ubai's acc. If one day i ever bumped into him and he asked me something like that, i wouldn’t be offended at all… I’d probably just tear up and give him the biggest hug because he’s so smart."

"Nak yang hebat lahir dari didikan ibu bapa yang terbaik. Congratulations to both parents to."

Untuk rekod, Seth Uwais merupakan cahaya mata daripada perkahwinan terdahulu Shila. Kini, kehidupannya semakin lengkap apabila dia dan Ubai dikurniakan seorang anak perempuan, Rhea Akira, tahun lalu.

Kisah ini bukan sekadar tentang seorang selebriti dan keluarganya, tetapi juga tentang keberanian seorang anak yang memilih untuk menjadi dirinya sendiri, tanpa rasa malu.

Dan lebih daripada itu, ia adalah tentang seorang ibu yang tidak pernah berhenti percaya bahawa setiap anak, walau berbeza, tetap mampu bersinar dengan cara mereka tersendiri.