‘Dian tak sombong, tidak kisah lepak di tepi jalan’

EntertainmentMovie
14 Oct 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Dian tak sombong, tidak kisah lepak di tepi jalan’

USAI diberi penghormatan bergandingan dalam filem The Fox King, pelakon Idan Aedan menafikan dakwaan segelintir pihak yang melabel aktres Indonesia, Dian Sastrowardoyo sebagai individu sombong ketika berada di lokasi penggambaran.

Sebaliknya, Idan, 22, menyifatkan Dian, 44, sebagai seorang yang mudah didekati, sekali gus menepis tanggapan negatif terhadap keperibadian aktres popular itu.

“Dia tidak bersifat ‘diva’ bahkan sangat merendah diri, tak sombong dan mudah bekerjasama.

“Bagi seorang yang mempunyai nama besar seperti dia saya terkejut sebab dia banyak bertanya pendapat kami tentang bagaimana kita mahu melakukan sesuatu babak di set penggambaran,” katanya ketika ditemui pada sidang media Top 5 Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, Idan menambah, Dian juga tidak kekok meluangkan masa bersama rakan pelakon lain di set penggambaran sementara menanti giliran untuk menjayakan babak masing-masing.

Katanya, Dian juga tidak kisah untuk melepak di tepi jalan bersama tanpa terikat dengan sebarang kawalan atau peraturan yang memperlihatkan dirinya sebagai seorang bintang besar.

“Kadang-kadang kami duduk di tepi jalan, ketawa dan melepak sementara menunggu babak, begitu sahaja.

“Dia memang tidak sombong langsung dan seperti ada seorang kakak sendiri, sangat menyenangkan serta sentiasa memberi bimbingan.

“Kalau orang cakap dia sombong, itu langsung tidak betul,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Idan menyifatkan peluang bergandingan dengan Dian menerusi The Fox King sebagai impian yang menjadi kenyataan untuk dirinya.

“Berlakon bersama Dian, memang impian jadi realiti dan sebenarnya dia adalah salah seorang pelakon yang saya sasarkan untuk bekerja bersama.

“Jadi, apabila dapat bekerja dengan dia, memang seronok malah dapat belajar banyak perkara sepanjang penggambaran.

“Walaupun selepas penggambaran, kami masih berhubung dan saya masih mendapat bimbingan daripada dia. Dia memang banyak membantu,” ujarnya.

Pelakon Lelaki Terbaik

Dalam perkembangan lain, hasil lakonan hebat dalam filem Abah Saya Uncle Mike melayakkan Idan tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik FFM35. Idan bakal berentap dengan saingan hebat seperti Shaheizy Sam (Badak), Datuk Eman Manan (3 Hajat), Beto Kusyairy (Gayong 2) dan Amerul Affendi (Libang Libu).

Tidak serius memikirkan kemenangan, berada dalam senarai Top 5 bersama pencabar bertaraf senior pun sebenarnya sudah cukup membanggakan buat dirinya.

“Memang sangat gembira dan terkejut bila nama masuk Top 5, alhamdulillah untuk rezeki ini. Saya tak letak harapan langsung untuk genggam trofi sebab tercalon bersama prlakon hebat lain pun sudah dikira satu kemenangan buat saya,” jelasnya.

FFM35 yang bertemakan Spektrum Sinema tahun ini bakal berlangsung di Istana Budaya pada 21 November depan.

 

The post ‘Dian tak sombong, tidak kisah lepak di tepi jalan’ appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved