Diarah keluar Dewan Rakyat, ‘ia hari hitam buat Parlimen Malaysia’: Radzi

Politics
19 Sep 2023 • 9:14 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin mempersoalkan mengapa isu mudah, iaitu permohonannya untuk meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataan ketika sesi Dewan Rakyat hari ini sukar ‘ditunaikan’ Speaker, Tan Sri Johari Abdul sehingga menyebabkan beliau sendiri diarah keluar.

Pemimpin itu mendakwa, permohonannya itu adalah disebabkan kenyataan dibuat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berunsur tuduhan yang mencalar maruah dirinya.

Justeru, beliau menyifatkan sesi Dewan Rakyat hari ini sebagai ‘satu hari hitam buat Parlimen Malaysia’ kerana Ahli Parlimen pembangkang daripada gabungan berkenaan tidak mendapat keadilan.

“Permintaan saya tak susah, permintaan saya Tan Sri Yang Dipertua minta Yang Amat Berhormat Tambun tarik balik (kenyataan), itu sahaja kerana ia melibatkan tuduhan terhadap saya.

“Sebab itu, seperti mana dijelaskan tadi, ini adalah satu perkara yang sangat straight forward (secara terus), Perdana Menteri hanya perlu kata saya tarik balik perkara tersebut, tak ada kaitan dengan Putrajaya, itu sahaja, kenapa nak pertahankan benda yang tidak betul…

“Jadi sebab itu saya mohon rakyat Malaysia pada hari ini tengok, kalau kami dalam Dewan (Rakyat) sendiri dituduh macam-macam di depan-depan begitu sekali dituduh dan tanpa sebarang bukti dan diminta supaya ditarik balik pun tak boleh, kami pun tidak mendapat keadilan, bagaimana untuk rakyat sekalian. Saya rasa itu mesej yang paling penting satu hari hitam buat Parlimen Malaysia,” katanya pada siding media di luar Dewan Rakyat.

Radzi dikenakan arahan meninggalkan kerusinya selepas gagal menuruti arahan Johari supaya beliau duduk dan berhenti mempertikaikan keputusan dibuat Dewan Rakyat yang menolak permohonannya, supaya Anwar menarik balik kenyataan dibuat terhadapnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu itu membidas dan mempertikaikan Anwar selepas tidak berpuas hati dengan kenyataan dibuat pemimpin berkenaan ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Susulan arahan dikenakan Johari itu, Ahli Parlimen PN lain turut bertindak keluar Dewan Rakyat beramai-ramai sebagai tanda protes terhadap keputusan Johari.

Manakala, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada sidang media dilaporkan berkata, keputusan dibuat Johari itu adalah tidak wajar dikenakan kepada Radzi.

Katanya, tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat itu juga dibuat untuk membuktikan apa dilakukan Johari adalah tidak adil kepada pihak mereka.

Sepatutnya, beliau berkata, Johari melakukan sesuatu dan bukannya menjadi seorang peguam. – 19 september, 2023