Diarah Tinggalkan Pesawat: Prosedur Kerusi Khas Kanak-Kanak Sedang Dikaji - AirAsia X

LocalFamily & Parenting
29 May 2026 • 5:31 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Diarah Tinggalkan Pesawat: Prosedur Kerusi Khas Kanak-Kanak Sedang Dikaji - AirAsia X

KUALA LUMPUR - AirAsia X sedang menjalankan kajian menyeluruh terhadap dasar serta prosedur berkaitan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak, susulan insiden melibatkan sebuah keluarga dan anak mereka yang tidak dibenarkan menaiki penerbangan Selasa lalu.

Ketua Pegawai Keselamatan dan Kualiti AirAsia X, Kapten Saravanan Subramaniam berkata, keputusan yang dibuat ketika insiden itu adalah berdasarkan keperluan keselamatan yang berkuat kuasa, khususnya berkaitan kesesuaian kerusi keselamatan kanak-kanak yang dibawa untuk digunakan di dalam pesawat.

Menurut beliau, pihak syarikat memahami bahawa keluarga berkenaan mungkin mempunyai jangkaan berbeza berdasarkan pengalaman perjalanan mereka sebelum ini dengan AirAsia X.

“Keselamatan dan kesejahteraan penumpang sentiasa menjadi keutamaan kami. Walaupun kami memahami kekecewaan yang dialami oleh keluarga tersebut, keputusan itu dibuat selaras dengan keperluan keselamatan serta prosedur operasi yang berkuat kuasa pada ketika itu,” katanya, seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Jelas Saravanan, AirAsia X kini sedang menyemak semula dasar dan prosedur berkaitan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak khas bagi memastikan garis panduan yang lebih jelas serta pelaksanaan yang lebih konsisten pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, pihak syarikat telah menghubungi penumpang terlibat bagi memberikan penjelasan lanjut serta bantuan yang sewajarnya.

Saravanan turut menasihatkan penumpang agar mengemukakan dokumen dan sijil berkaitan kesesuaian kerusi keselamatan kanak-kanak sebelum penerbangan bagi tujuan penilaian dan kelulusan awal.

“Ini termasuk penumpang orang kurang upaya (OKU) bagi memudahkan proses penilaian dan kelulusan sebelum berlepas,” katanya.

Beliau menambah, kru darat dan kru penerbangan syarikat telah dilatih untuk mengendalikan semua situasi secara profesional, penuh perhatian serta mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Setiap maklum balas daripada pelanggan akan digunakan dalam usaha penambahbaikan berterusan bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih konsisten dan lancar untuk semua penumpang,” jelasnya.

Sebelum ini Berita Harian melaporkan, seorang ibu kecewa selepas mendakwa keluarganya diarahkan turun dari pesawat berikutan isu penggunaan kerusi khas di dalam pesawat, untuk anak perempuannya yang menghidap cerebral palsi quadriplegia.

Melalui hantaran di Facebook, Syarifah Ella Wan Wahab berkata, beliau bersama suami, tiga anak kecil dan seorang pembantu rumah telah selesai melalui proses daftar masuk, imigresen serta menaiki pesawat sebelum dimaklumkan oleh kru darat dan kabin bahawa juruterbang memutuskan untuk tidak membenarkan penggunaan kerusi khas tersebut.

Menurut Syarifah Ella, anaknya sebelum ini telah beberapa kali menaiki penerbangan domestik dan antarabangsa, termasuk dengan syarikat berkenaan, menggunakan kerusi yang sama tanpa sebarang masalah. - Getaran, 29 Mei 2026

View Original Article