Diberhentikan secara mengejut, bekas CEO YBR failkan saman

LocalPolitics
30 Jun 2025 • 2:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Syaiful Rizal (kanan) dan Abdullah Sani menunjukkan laporan polis dan surat berkaitan ketika sidang akhbar pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Bank Rakyat (YBR), Syaiful Rizal Abdul Ghani bersama tiga lagi kakitangan yayasan itu telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap YBR dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat).

 

Tindakan itu diambil berikutan beberapa tuntutan, termasuk dakwaan berlaku campur tangan oleh bank berkenaan yang didakwa menyebabkan penamatan perkhidmatan Syaiful Rizal oleh YBR.

 

Syaiful Rizal berkata, saman itu difailkan pada 5 Jun lalu setelah pelantikannya sebagai CEO ditamatkan secara mengejut pada 25 April lalu, tanpa justifikasi sah serta tanpa mematuhi tatakelola, sedangkan perkhidmatannya masih berbaki 31 bulan.

 

Katanya, tiga warga kerja lain melibatkan Ketua Bahagian Operasi, Ketua Sekretariat dan Pengurus Sumber Manusia turut ditamatkan perkhidmatan secara konstruktif oleh YBR.

 

"Tindakan yang dikenakan bukan sahaja menjejaskan reputasi profesional saya, malah telah mencemarkan integriti institusi, seandainya dapat dibuktikan bahawa pihak Bank Rakyat mempunyai motif untuk berkonspirasi dalam pemecatan saya.

 

"Saya juga telah membuat laporan polis terhadap Jabatan Audit Bank Rakyat setelah mendapati laporan audit yang dibuat tidak selari dengan perbincangan bersama pengurusan YBR.

 

"Kami bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya wujud aduan salah laku terhadap kami, namun diingatkan bahawa kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang susulan sekiranya laporan yang dibuat adalah palsu dan berniat jahat," katanya dalam sidang akhbar di Bandar Tasik Selatan di sini pada Isnin.

 

Syaiful Rizal akan diwakili oleh Tetuan Amelda & Partners dalam prosiding tersebut.

 

Turut hadir, bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

 

Sementara itu, Abdullah Sani berkata, Syaiful Rizal bersama tiga pegawai lain dipecat tanpa mengikut prosedur undang-undang seperti diperuntukkan dalam Seksyen 14 Akta Kerja 1955.

 

Beliau turut mendesak agar Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) segera menyiasat dakwaan campur tangan dalam isu tersebut bagi memastikan keharmonian kedua-dua belah pihak.