KOTA BHARU - Seorang pengasas kosmetik terkenal di Kelantan melahirkan rasa kecewa anak perempuan tunggalnya dikasari tunang sendiri pada tiga Ramadan lalu.
Fara Sharina Zamari, 37, mendakwa, kejadian yang menimpa anak sulung daripada empat beradik itu menyebabkan gadis berusia 19 tahun itu mengalami trauma.
"Anak saya dicekik, diseret serta ditendang berkali-kali oleh lelaki tersebut yang juga merupakan seorang pempengaruh," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
**media[3464327]**
Ujar beliau, kekasaran itu menyebabkan anaknya cedera di seluruh badan dan susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada 24 Februari.
Menurutnya, sebelum membuat laporan polis beliau membawa anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan pada masa sama tali pertunangan yang diikat pada Januari lalu diputuskan serta-merta.
Beliau memberitahu, paling mengejutkan anaknya bukan mangsa pertama selepas dimaklumkan sebelum ini seorang wanita pernah didakwa menjadi mangsa kekerasan lelaki berusia 20 tahun.
Menurut Fara Sharina, beliau tidak menyangka bekas tunang anaknya itu yang bersikap baik serta romantik sebelum ini adalah lelaki panas baran.
"Saya telah membuat laporan polis dan lelaki terbabit telah direman namun dilepaskan atas ikat jamin dan laporan kedua dibuat pada hari ini (Ahad) kerana tidak mahu anak saya diganggu.
"Sebagai seorang ibu, saya berharap kes ini dipandang serius kerana ia bukan sahaja meninggalkan kesan kecederaan kepada anak tetapi trauma," katanya.
Menurut beliau, jika diikutkan anaknya itu akan mendirikan rumah tangga pada 10 Syawal nanti namun ia telah dibatalkan selepas kejadian ini.

