
KUALA LUMPUR – Inspektor wanita, Sheila Sharon Steven Kumar hari ini mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas tiga pertuduhan menggugut dan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis berpangkat lans koperal serta dua orang awam.
Pengakuan itu dibuat Sheila Sharon atau lebih dikenali Inspektor Sheila ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang, Selangor hari ini.
“Saya tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan. Saya faham pertuduhan,” katanya selepas tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Chai Guan Hock, seperti dilaporkan BH.
Sheila didakwa mengugut seorang wanita dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa menghina kesopanan seorang lelaki dengan berkata; “You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu” mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ketika di hadapan Majistret Nor Hafizah Rajuni pula, Sheila mengaku tidak bersalah menyebut pangkat lans koperal dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud mengaibkan kehormatannya.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai makan di Jalan SG 1/1, Taman Sri Gombak di sini, masing-masing pada jam 12 tengahari dan 1 petang, 15 Jun lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal menawarkan jaminan RM8,000 kepada tertuduh, manakala Anis Farhah Ahmad Hilmi menawarkan jaminan sebanyak RM3,000.
Guan Hock kemudian membenarkan Sheila dijamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin, manakala Nor Hafizah mengenakan jaminan sebanyak RM2,000.
Sementara itu, peguam bela M Manoharan dalam rayuan pembelaan bagi diringankan wang ikat jamin, memohon supaya anak guamnya diberikan wang ikat jamin rendah atau dilepaskan dengan bon tanpa jaminan.
Manoharan berkata, anak guamnya yang mempunyai ijazah dalam bidang bahasa dan linguistik daripada Universiti Malaya (UM), sudah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tahun 2016.
Peguam itu berkata, bapa tertuduh juga sudah berkhidmat selama 39 tahun bersama PDRM dengan pangkat terakhir sebagai asisten superintendan dan adik tertuduh turut bertugas dalam PDRM. – Getaran, 26 Jun 2023

