
KUALA LUMPUR - Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen Tawau, Sabah hari ini atas enam pertuduhan melakukan serangan seksual ke atas lima pelajar perempuan pada Mei lalu.
Suspek berusia 56 tahun yang mengajar subjek Bahasa Melayu itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah, ketika semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Menurut pertuduhan, bapa kepada enam orang anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap lima pelajar perempuan Tahun Tiga berusia sembilan tahun, di dalam bilik darjah sebuah sekolah rendah di Tawau pada 8, 13 dan 15 Mei.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin dan syarat tambahan seperti yang diminta oleh pihak pendakwaan.
Mahkamah juga menetapkan 17 November untuk pelantikan peguam dan penyerahan dokumen. – Getaran, 8 Oktober 2025


