Didakwa Hina Permaisuri Thailand, ‘Wanita’ Dipenjara Dua Tahun

18 Sep 2022 • 11:07 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Seorang aktivis politik di Thailand dijatuhkan hukuman penjara dua tahun baru-baru ini setelah disabitkan bersalah atas tuduhan menghina kerabat diraja dalam satu protes politik di ibu negara pada tahun 2020 lalu.

Imbas kembali, tertuduh yang berusia 25 tahun didakwa memperagakan satu set pakaian wanita berwarna merah jambu yang dipercayai sebagai satu percubaan untuk ‘mengajuk’ diri permaisuri diraja Thailand.

Menurut peguam, Krisadang Nutchara, tertuduh dibicarakan di mahkamah atas tindakannya yang didakwa mempersendakan Permaisuri Suthida semasa tunjuk perasaan jalanan tersebut berlangsung di Bangkok pada Oktober tahun itu.

Hal tersebut disaksikan umum menerusi beberapa foto yang memaparkan kelibat dirinya sedang berjalan di atas karpet merah dengan mengenakan pakaian sutera tradisional berwarna merah jambu.

Selain itu, tertuduh ketika itu juga dilihat berjalan di bawah payung yang dipegang oleh seorang pembantu, sambil dipercayai mengajuk perbuatan seakan-akan penghormatan yang ditunjukkan kepada kerabat diraja Thailand.

image is not available
Kredit: MLADEN ANTONOV/AFP via The Vice

“Dia telah menafikan pertuduhan tersebut dan mengatakan bahawa dia hanya mengenakan pakaian tradisional Thailand seperti kebiasaan.

“Akan tetapi, pihak mahkamah melihat perbuatan ini sebagai satu tindakan penghinaan dan persendaan terhadap monarki,” kata Krisadang.

Secara umumnya, protes tersebut diadakan dipercayai untuk membantah penggunaan wang pembayar cukai rakyat sebanyak 13 juta baht (RM1.6 juta) untuk sebuah pertunjukan fesyen di bawah kelolaan ahli keluarga diraja.

Menurut laporan seperti yang dilapor The Vice, tunjuk perasaan itu dipercayai ditujukan terhadap keluarga diraja Thailand dan pada masa yang sama, mendesak agar terdapat pembaharuan dalam sistem beraja di negara tersebut.

Pada asalnya tertuduh dikenakan sabit kesalahan di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan Akta ‘lese majeste’ undang-undang Thailand, yang membolehkan hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Namun disebabkan dia berkelakuan baik, hukuman penjaranya telah dikurangkan daripada 15 tahun kepada dua tahun sahaja, selain turut didenda sebanyak 1000 baht (RM 124.18).

Walaupun bakal menjalani hukuman penjara dua tahun seperti yang sudah diputuskan mahkamah, namun statusnya sama ada di penjara lelaki atau wanita masih belum diketahui kerana dia merupakan seorang transgender.

Difahamkan, menurut BBC, Thailand mempunyai satu undang-undang yang sangat ketat berkenaan institusi diraja yang dikatakan sangat melarang sebarang bentuk kritikan terhadap raja dan kerabatnya yang lain.

Sumber: The Vice / BBC