
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung pemalsuan dokumen.
FIFA menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi (26 Sept) berkata, FAM telah didapati menyerahkan dokumen dipalsukan ketika membuat semakan kelayakan dengan FIFA bagi membolehkan tujuh pemain diturunkan dalam perlawanan rasmi.
Ketujuh-tujuh pemain terbabit yang dimaksudkan ialah:
- Gabriel Felipe Arrocha
- Facundo Tomas Garces
- Rodrigo Julian Holgado
- Imanol Javier Machuca
- Joao Vitor Brandao Figueiredo
- Jon Irazabal Iraurgui
- Hector Alejandro Hevel Serrano
Kesemua mereka turun beraksi ketika perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu. Perlawanan itu berkesudahan dengan Malaysia membelasah Vietnam 4-0.
Bahkan João Figueiredo telah dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan (MOM) selepas mencetak satu gol dan mempersembahkan aksi yang memberangsangkan.

Menurut FIFA, selepas perlawanan pihaknya menerima aduan berhubung kesahihan kelayakan lima pemain iaitu:
- Facundo Tomás Garcés
- Rodrigo Julián Holgado,
- João Vitor Brandão Figueiredo
- Jon Irazábal Iraurgui
- Hector Alejandro Hevel Serrano.
Selepas menjalankan siasatan dan menilai semua bukti yang dikemukakan Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta) manakala tujuh pemain terbabit didenda CHF2,000 (RM10,400) setiap seorang.
Kesemua pemain terbabit turut dikenakan hukuman tambahan berupa penggantungan selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh pemakluman keputusan tersebut.
Memetik Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) sesiapa yang, dalam aktiviti berkaitan bola sepak, memalsukan dokumen, mengubah dokumen sah atau menggunakan dokumen palsu/diubah suai akan dikenakan hukuman denda serta penggantungan sekurang-kurangnya enam perlawanan atau bagi tempoh tidak kurang daripada 12 bulan.
Selain itu sesebuah persatuan atau kelab juga boleh dipertanggungjawabkan atas perbuatan pemalsuan atau pengubahan tersebut sekiranya dilakukan oleh pegawai atau pemainnya.

FAM kemuka rayuan
Dalam pada itu, FAM menegaskan bahawa pihaknya dan para pemain terbabit telah bertindak dengan niat baik serta penuh ketelusan sepanjang proses dilakukan.
Malah FAM telah menguruskan segala dokumentasi serta prosedur berkaitan secara telus mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Tambah FAM, FIFA sebelum ini telah meneliti kelayakan pemain berkenaan dan memberikan pengesahan rasmi bahawa mereka layak untuk beraksi mewakili Malaysia.
“Sehubungan dengan keputusan ini, FAM akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan akan menggunakan semua saluran serta prosedur perundangan yang ada bagi memastikan kepentingan para pemain serta pasukan kebangsaan Malaysia sentiasa terpelihara.
“FAM kekal komited untuk bertindak dengan tegas, mematuhi peraturan antarabangsa, serta mempertahankan integriti bola sepak negara.”
Tambah FAM lagi, mereka terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Malaysia dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan proses yang dijalankan adalah telus, adil dan berlandaskan semangat kesukanan.



