
KUALA LUMPUR - Bekas Setiausaha Poliitk Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin didakwa atas empat pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, melibatkan wang tunai RM176,829.03 serta pelbagai barangan rumah.
Kesemua suapan itu didakwa diterima daripada seorang ahli perniagaan, Tei Jiann Cheng atau lebih dikenali sebagai Albert Tei.
Menurut pertuduhan, suapan tersebut diberikan sebagai dorongan untuk membantu pelbagai syarikat berkaitan dengan Tei mendapatkan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Shamsul Iskandar didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Media tempatan melaporkan, ruangan mahkamah dipenuhi wakil media dan orang awam, seawal jam 8 pagi.
Bagaimanapun, beberapa penyokong Shamsul Iskandar, yang juga Ketua PKR Melaka, tidak dibenarkan masuk dan terpaksa menunggu di koridor luar bilik mahkamah.
Kawasan menuju ke bilik mahkamah turut dikawal ketat, dengan laluan ditutup dan dipantau rapi oleh anggota polis serta pegawai keselamatan mahkamah.
Di dalam galeri awam, Shamsul Iskandar dan Albert Tei dilihat duduk secara berasingan.
Turut hadir ialah isteri Tei, Lee Pei Rie.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan, manakala barisan peguam bela terdiri daripada Mahajoth Singh, Datuk Amer Hamzah Arshad, Latheefa Koya, N Surendran, Rajesh Nagarajan, Joshua Tay dan Yusmadi Yusoff.
Prosiding kes berprofil tinggi yang menarik perhatian ramai ini berjalan lancar di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Sementara itu, Shamsul Iskandar ketika ditemui di luar mahkamah memohon orang ramai terus mendoakan dan memberikan sokongan.
Tegasnya, beliau komited membersihkan namanya menggunakan saluran undang-undang sedia ada.
“Terus mendoakan saya, saya akan terus lalui semua ini mengikut lunas dan jalur hukum,” katanya.
Shamsul Iskandar turut menzahirkan penghargaan kepada rakan-rakan, kenalan serta pasukan peguamnya atas kehadiran dan sokongan mereka sambil menegaskan hasrat untuk mempertahankan diri terhadap dakwaan tersebut tanpa kompromi.
“Saya akan melakukan sedaya upaya untuk membuktikan kebenaran dan mengikuti proses undang-undang serta prosedur mahkamah.
“Sejak awal lagi, saya mengambil pendekatan proaktif dan memberikan kerjasama penuh bagi menyelesaikan siasatan ini dan Insya Allah, membersihkan nama saya,” katanya.
Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad, berkata prosiding hari ini berjalan seperti dijadualkan, dengan mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu pada Januari untuk pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan.
Amer berkata bahawa anak guamnya secara konsisten mengekalkan pendirian tidak bersalah.
“Ketika berita dan tuduhan terhadapnya tular, beliau telah membuat laporan polis semasa berada di Sabah bagi tujuan berkempen. Laporan itu dibuat untuk membersihkan namanya daripada dakwaan yang dilemparkan terhadap beliau dan terhadap PMX.
“Pihak pembelaan yakin proses undang-undang akan berjalan dengan teratur dan memberikan peluang yang adil kepada Shamsul Iskandar untuk membela diri,” katanya. - Getaran, 4 Disember 2025
