
Kota Kinabalu: Dua lelaki didenda berjumlah RM4,500 kerana mengambil syabu. Mah Chun Wu @ Edward, 51 dan Abdul Aziz Musap, 21, mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Majistret Marilyn Kelvin pada Selasa.
Mah didenda RM2,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda manakala Abdul Aziz didenda RM2,500 atau tujuh bulan penjara jika gagal membayar denda, serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun.
Mereka didapati mengambil dadah selepas ujian air kencing yang dilakukan di balai polis di sini pada 22 dan 28 Februari tahun ini didapati positif dadah.
Kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan diletakkan di bawah pengawasan polis sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Semasa mitigasi, kedua-dua mereka yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana Mah mempunyai anak-anak untuk dijaga.
Sementara itu, seorang wanita didenda RM1,600 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda kerana memiliki peralatan 4D haram.
Aidahwaty Adnan mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin kerana memiliki peralatan perjudian bagi perjudian loteri tanpa lesen iaitu sebuah telefon bimbit, dua keeping kertas kecil bercetak yang mengandungi huruf dan nombor, satu unit pencetak mudah alih mini dan wang tunai berjumlah RM110 di Kepayan Kopitiam, Taman Kepayan Ridge, pada 9 Mac tahun ini, jam 5 petang.
Kesalahan di bawah Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

