Didenda kerana miliki produk kecantikan haram

LocalBeauty
6 Aug 2025 • 1:21 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Cynthia D Baga

Kota Kinabalu: Seorang wanita berumur 41 tahun didenda berjumlah RM12,000 kerana memiliki produk dan kosmetik tidak berdaftar.

Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Faridah Yacobus yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan ke atasnya pada Selasa.

Bagi pertuduhan pertama, Faridah didenda RM6,000 atau empat bulan penjara kerana memiliki 41 jenis produk yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 2.15 petang, 28 November 2023 di Rakan Jaya Trading di Kedai Kepayan Perdana, Pusat Komersial, dekat sini.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Kesalahan itu di bawah Peraturan 7(1)(a), Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 itu memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Faridah sebagai pemilik kedai, turut dikenakan denda RM6,000 atau empat bulan penjara kerana memiliki 38 jenis kosmetik tanpa notifikasi di lokasi dan masa yang sama.

Ketika merayu denda lebih rendah, Faridah yang tidak diwakili memaklumkan mahkamah bahawa dia mempunyai empat anak yang masih bersekolah. Dia juga perlu menjaga seorang adik kurang upaya serta ibu bapa yang sudah tua.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Abu Suffian A. Rahman yang dibantu oleh Thai Yih Yang dari Bahagian Farmasi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum terhadap Faridah demi kepentingan keselamatan dan kesihatan awam, serta sebagai pengajaran kepada Faridah dan amaran kepada orang lain yang mungkin berniat melakukan kesalahan sama.

Abu berkata sebanyak 41 jenis produk tidak berdaftar dan 38 jenis kosmetik yang dirampas disahkan tidak berdaftar dan tidak bernotifikasi oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Beliau memberitahu mahkamah bahawa semua barang rampasan itu tidak diuji dari segi ketulenan, kandungan, keberkesanan mahupun risiko kesan sampingan, justeru aspek keselamatannya diragui.

Menurut Abu lagi, produk dan kosmetik berkenaan dimiliki Faridah dalam kuantiti yang banyak dengan anggaran nilai RM33,317.

Beliau turut mengemukakan bahawa produk dan kosmetik terbabit dipamerkan di rak-rak kedai Faridah, sekali gus boleh menggalakkan orang awam membelinya.

Abu berkata semua produk dan kosmetik yang dipamerkan di mana-mana premis perniagaan mesti berdaftar dan bernotifikasi dengan PBKD dan KKM.