
KUALA LUMPUR – Pelakon dan pelawak terkenal, Didie Alias, tampil memberikan sokongan moral kepada rakan artis, Amyza Aznan, yang kini berdepan ujian besar apabila anak sulungnya disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga.
Menerusi perkongsian di Threads oleh Affendy Jailani, beliau memuat naik momen Didie hadir memberi semangat kepada Amyza dengan kapsyen menyentuh hati:
“Tak perlu ramai kawan, cukup yang setia waktu susah dan ikhlas waktu senang.”
Perkongsian itu mengundang sebak dalam kalangan netizen yang tersentuh melihat solidariti sesama rakan artis ketika saat sukar.
Rayuan Penuh Emosi Di Tengah Malam
Sementara itu, Amyza menerusi hantaran Insta Story meluahkan rasa cemas apabila doktor memaklumkan keadaan anaknya, Andre Mikhail, yang kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, memerlukan pemantauan ahli keluarga.
Dalam status yang dimuat naik pada jam 11.58 malam Ahad, Amyza merayu doa dan bantuan orang ramai.
“Assalamualaikum, kepada rakyat Malaysia, saya ibu kepada Andre Mikhail sekarang berada di hospital. Tolong doakan anak saya.
Kepada sesiapa yang pandai tolong ikhtiarkan dengan apa sahaja perubatan. Tolong.
Doktor minta keluarga stand by. Ya ALLAH tolonglah kepada sesiapa yang bijak dalam bidang selain hospital. Tolong saya malam ini,” rayunya.
Luahan penuh emosi itu jelas menggambarkan kegusaran seorang ibu yang sedang berdepan detik mencabar.
Ucapan Hari Lahir Yang Buat Ramai Sebak
Terdahulu, Amyza turut berkongsi ucapan ulang tahun menyentuh hati buat Andre yang kebetulan menyambut hari lahirnya.
“Selamat ulang tahun sayang.
Duhai anakku Andre Mikhail, anak yang sangat baik. Tidak pernah tinggi suara, tidak pernah berkata tidak kepada mommy, akur dan taat.
Terlalu banyak pengorbanan dan kebaikan kamu wahai anak.
Mommy dan semua mendoakan Mikhail sembuh dengan cepat dan tidak berulang sakit lagi.”
Perkongsian itu mengundang ribuan doa dan kata-kata semangat daripada pengikutnya.
Ujian Berganda Dalam Keluarga
Sebelum ini, Amyza memaklumkan Andre yang sedang menjalani rawatan kemoterapi menunjukkan perkembangan positif.
Namun pada 1 Ramadan lalu, beliau sekali lagi diuji apabila anak keduanya, Adrian, pula didiagnosis menghidap kanser tulang, mengulangi detik hitam tahun lalu apabila Andre disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga pada bulan kelahirannya.
Ujian bertimpa-timpa itu nyata mengundang simpati ramai.
Netizen Turut Tersentuh
Di ruangan komen video yang dikongsi Affendy Jailani, rata-rata netizen meluahkan rasa sebak:
“Sedihnya ya Allah… semoga Allah mudahkan segala urusan Kak Amyza sekeluarga”
“Mummy Didie ni memang baik.”
Solidariti dan doa orang ramai sedikit sebanyak memberi kekuatan buat Amyza dan keluarga dalam menghadapi ujian ini.
Semoga segala urusan dipermudahkan dan kesembuhan buat Andre serta Adrian. – The Malaysian Update
The post Didie Alias Datang Beri Semangat, Amyza Aznan Rayu Doa Buat Anak Derita Kanser appeared first on The Malaysian Update.


