johardy03/04/2026 - 08:00 Gambar DagangNews.com Merrepak Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com Kalau ini strategi, maka ia strategi yang pelik. Petrol dikekalkan. Diesel kawkaw melambung seolah-olah ia minyak kegunaan mahakaya semata-mata.
Harga diesel melonjak ke RM6.02 seliter — satu angka yang bukan sekadar statistik, tetapi satu gelombang kejutan kepada seluruh rantaian ekonomi. Ini bukan isu lori semata-mata. Ini soal makanan, logistik, pengeluaran, kos harian — pendek kata, denyut nadi ekonomi sebenar.
Dan ini belum penghujungnya.
Dengan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat, pasaran minyak global menjadi semakin tidak menentu. Laluan strategik seperti Selat Hormuz kini berada dalam bayang risiko. Bila geopolitik bergolak, harga tenaga tidak tunggu lama untuk bertindak balas.
Maka RM6.02 hari ini mungkin bukan siling.
Ia boleh jadi lantai.
Jika trend ini berterusan, tidak mustahil setiap Khamis akan membawa satu lagi kenaikan — sedikit demi sedikit secara konsisten — selagi perang berlarutan. Dan perang, seperti yang kita tahu, tidak datang dengan tarikh tamat selagi Donald Trump masih menjadi presiden Amerika Syarikat.

Rantaian Kos Yang Tidak Boleh Disorok
Kos diesel tidak berhenti di pam.
Ia mengalir — terus ke harga barang. Pengangkutan naik, harga naik. Pembekal naikkan caj, peniaga kecil terpaksa ikut. Akhirnya pengguna yang tanggung.
Kerajaan boleh kata petrol kekal murah, inflasi terkawal.
Tetapi itu ilusi.
Kerana inflasi sebenar bukan datang dari kereta persendirian — ia datang dari lori yang bergerak setiap hari membawa barang ke pasar.
Petrol tidak menggerakkan ekonomi. Diesel yang buat kerja itu.
Dasar Yang Tidak Seimbang
Di sinilah persoalan dasar timbul. Kenapa diesel dibiarkan melabung ke paras RM6?
Kalau matlamatnya kecekapan fiskal, kenapa pendekatan separuh jalan? Kenapa tidak reform sepenuhnya dengan mekanisme yang jelas, telus dan bersasar?
Atau ini sekadar keputusan mudah — jaga sentimen pengguna bandar, tetapi bebankan sektor produktif?
Lebih membimbangkan, bila harga diesel kini terdedah kepada turun naik global tanpa penampan yang jelas, dasar ini seolah-olah menyerahkan ekonomi domestik kepada ketidaktentuan luar.
Ini bukan sekadar soal subsidi. Ini soal keutamaan ekonomi.
Adakah kita mahu ekonomi yang nampak stabil di permukaan, tetapi rapuh di bawah?
Siapa Yang Gubal Dasar Diesel Ini?
Di sinilah persoalan yang lebih sukar — tetapi tidak boleh dielakkan.
Siapa sebenarnya yang menggubal dasar ini?
Adakah mereka benar-benar memahami bagaimana ekonomi bergerak di peringkat bawah — bagaimana lori, pembekal, pengilang kecil dan peniaga harian berfungsi?
Atau dasar ini lahir dari bilik mesyuarat kayangan yang terlalu jauh dari realiti rakyat jelata?
Lebih penting — adakah impak rantaian ini benar-benar dinilai secara menyeluruh, atau sekadar melihat angka subsidi di atas kertas?
Dasar ekonomi bukan eksperimen teori.
Ia menyentuh kehidupan sebenar.
Setiap sen kenaikan diesel bukan angka kecil — ia keputusan besar kepada ribuan perniagaan kecil yang beroperasi dengan margin tipis. Ia memberi kesan kepada harga makanan di meja rakyat. Ia menentukan sama ada sesuatu perniagaan boleh bertahan atau terpaksa gulung tikar.
Jika pembuat dasar tidak merasai tekanan ini, maka di situlah jurangnya.
Dan jurang itu kini semakin melebar.
Isyarat Yang Salah Kepada Pasaran
Pasaran membaca dasar, bukan kenyataan.
Bila diesel naik mendadak — dan berpotensi naik lagi minggu demi minggu — isyaratnya jelas: kos operasi di Malaysia tidak lagi boleh dijangka. Ini memberi tekanan kepada SME, sektor logistik, dan pelabur yang bergantung kepada kestabilan kos.
Ketika negara lain cuba menurunkan kos rantaian bekalan, kita melakukan sebaliknya.
Dan kemudian kita hairan kenapa harga barang tidak turun.
Semakin Ramai ‘Naik Minyak’
Akhirnya, apa yang berlaku bukan sekadar kenaikan harga.
Ia adalah tekanan yang terkumpul.
Rakyat mula rasa sempit. Peniaga mula kira semula margin. Sudahlah kena tanggung bayaran SST, cukai CP204 setiap bulan. Pengusaha kecil mula risau. Dan emosi itu semakin jelas — semakin ramai yang “naik minyak”.
Bukan kerana mahu.
Tetapi kerana terpaksa.
Bila kos hidup naik tanpa kawalan, dan kuasa beli semakin terhimpit, sabar menjadi barang mewah. Dan bila sabar itu hilang, kemarahan mula mengambil tempat.
Itulah yang sedang berlaku.
Resipi Tekanan
Adakah ini resipi kemusnahan ekonomi? Mungkin tidak serta-merta.
Tetapi ini jelas resipi kepada tekanan berantai — dari pengeluar ke pengguna, dari bandar ke luar bandar, dari industri ke isi rumah.
Dan jika setiap Khamis menjadi “hari penyesuaian harga” yang baharu — dipacu oleh perang yang entah bila reda — maka tekanan ini bukan lagi sementara. Ia menjadi norma.
Ekonomi tidak runtuh dalam sehari. Ia retak perlahan-lahan — melalui dasar yang tidak seimbang, keputusan yang tidak konsisten, dan keutamaan yang tersasar.
RM6.02 bukan sekadar harga diesel.
Ia adalah cerminan kepada realiti yang lebih besar — tentang siapa yang menggubal dasar… dan sejauh mana mereka memahami kesannya kepada rakyat yang kini semakin ramai ‘naik minyak’. - DagangNews.com
Nota Pengarang: Bagi yang tidak mengikuti kelas Bahasa Malaysia, `naik minyak' adalah kiasan Bahasa Melayu (idiom) yang bermaksud seseorang menjadi sangat marah, hilang sabar, atau mudah melenting.
Johardy Ibrahim adalah Editor DagangNews.com yang pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, Bernama, TVS dan The People's Mirror dalam kerjaya hampir 34 tahun sebagai wartawan. Merrepak adalah kolum pojok beliau — pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 yang menyentuh apa sahaja isu mencuit jiwa minda seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu We Didn't Start The Fire oleh Billy Joel berulang-ulang kali.

