Difitnah larikan berbilion ringgit dan jadi warga Turkiye, Farhash buat laporan polis

LocalPolitics
6 May 2026 • 3:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Difitnah larikan berbilion ringgit dan jadi warga Turkiye, Farhash buat laporan polis
Farhash

SHAH ALAM – Ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau terlibat dalam kegiatan mencuri dan pengubahan wang haram membabitkan berbilion ringgit di luar negara.

Beliau berkata, penafian itu susulan beberapa portal berita dalam talian sebelum ini menyiarkan laporan dan mengulangi dakwaan serius terhadap dirinya, termasuk kononnya beliau merupakan seorang warganegara Turkiye.

"Saya dengan tegas dan tanpa sebarang keraguan menafikan semua tuduhan tersebut. Dakwaan-dakwaan ini adalah tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah yang jelas bertujuan untuk mencemarkan reputasi serta integriti saya, selain memberi kesan negatif kepada kehidupan peribadi dan urusan perniagaan saya.

"Untuk penjelasan, saya bukan seorang warga Turkiye, tidak pernah terbabit dalam sebarang aktiviti mencuri atau pengubahan wang haram seperti yang didakwa dan tidak mempunyai sebarang akaun bank di Turkiye," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Ahli perniagaan tersebut turut menegaskan bahawa beliau hanyalah seorang ahli perniagaan, sekali gus ketika ini tidak terlibat dalam bidang politik.

Farhash berkata, beliau tidak mengetahui mengapa dirinya dikaitkan dengan perkara itu, namun percaya terdapat pihak tertentu yang mempunyai niat tersirat untuk meraih kepentingan politik.

Beliau memandang serius penyebaran rakaman video tersebut yang disebarkan dengan niat jahat oleh pihak-pihak tertentu, sekali gus menyifatkan tindakan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah berpotensi melanggar undang-undang.

Justeru, Farhash memaklumkan beliau telah membuat laporan polis dan menyerahkan perkara terbabit kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut di bawah peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk Seksyen 499 Kanun Keseksaan.

Beliau juga menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam proses siasatan berkenaan.

Tambah Farhash, peguam telah diarahkan untuk mengambil dan memfailkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang terbabit dalam penyebaran fitnah itu demi melindungi nama baik serta kepentingan dirinya.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak disahkan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus," ujarnya lagi.