Digantung 3 Tahun, MP PJ Letak Jawatan

LocalPolitics
2 Oct 2026 • 12:40 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Digantung 3 Tahun, MP PJ Letak Jawatan

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen berkuat kuasa serta-merta, hanya dua hari selepas keahliannya dalam PKR digantung selama tiga tahun.

Lee, yang menyertai PKR sejak 2008, berkata beliau akan mengemukakan surat peletakan jawatan daripada parti itu pada Isnin.

Menurutnya, beliau dimaklumkan mengenai keputusan penggantungan keahliannya pada 30 September lalu dan telah menerima surat rasmi berhubung perkara tersebut.

“Jadi, saya membuat keputusan untuk meletakkan jawatan (sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya) tanpa sebarang syarat,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu telah dimaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, ketika pertemuan mereka semalam.

Katanya, beliau tidak boleh terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen sekiranya tidak dibenarkan bersuara mengenai isu yang memberi kesan kepada penduduk di kawasannya serta negara.

“Adakah saya sepatutnya terus menerima gaji sebagai Ahli Parlimen tetapi hanya duduk diam seperti tunggul?

“Tidak,” katanya.

Jelas Lee, penggantungan itu berlaku selepas beliau membangkitkan beberapa isu, antaranya Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA), sistem pengurusan pengambilan pekerja asing, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kemasukan ke universiti bagi pemegang STPM serta garis panduan berkaitan rumah ibadat di Selangor.

Dakwanya, akses kepada peruntukan RM3 juta bagi kawasan Petaling Jaya sebelum ini turut disekat, sebelum pengurusan dana berkenaan diambil alih menerusi proses yang disifatkannya sebagai tidak telus.

Peletakan jawatan itu berlaku ketika wujud ketegangan susulan penglibatan beliau dalam aktiviti berkaitan Bersama, sebuah parti politik yang diasaskan bekas pemimpin PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Sebelum ini, terdapat laporan bahawa PKR mempertimbangkan penggantungan selama tiga tahun terhadap Lee susulan rasa tidak puas hati di peringkat akar umbi berhubung penglibatannya dalam program Bersama ketika masih menjadi ahli PKR.

Bagaimanapun, Lee berkata keputusannya turut didorong kebimbangan yang lebih meluas mengenai hala tuju kerajaan dan agenda reformasi institusi.

Beliau mengkritik pengendalian kerajaan terhadap beberapa isu termasuk dakwaan pengaruh korporat, pendakwaan berprofil tinggi serta kelewatan dalam usaha memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Lee berkata, beliau kekal komited terhadap politik progresif dan pelbagai kaum serta usaha memperkukuh reformasi institusi.

“PKR adalah parti politik pertama yang saya sertai. Saya meninggalkan kerjaya korporat dan menghabiskan sebahagian besar usia muda saya dalam perjuangan ini kerana saya percaya politik seharusnya digunakan untuk mempertahankan mereka yang dilayan secara tidak adil,” katanya.

Beliau berkata, tiada penyesalan terhadap perjalanan politiknya sejak menyertai PKR pada 2008, selain merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan dalam parti dan penyokong yang terus memperjuangkan politik bersih serta reformasi institusi.

Pada masa sama, Lee berkata pusat khidmatnya di Petaling Jaya akan terus beroperasi meskipun beliau tidak lagi memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen kawasan itu.

Antara isu setempat yang diberi perhatian beliau termasuk usaha membantah projek PJD Link, mendesak penangguhan pelaksanaan sistem Parkir Pintar Selangor, mendapatkan tapak bagi pembinaan hospital awam serta menangani masalah banjir.

“Saya akan terus bersama rakyat Petaling Jaya dan menghimpunkan kekuatan rakyat untuk mengubah budaya politik lama yang tidak lagi sesuai dengan Malaysia hari ini,” katanya. - Getaran, 2 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved