
PETALING JAYA – Lee Chean Chung mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya tanpa syarat berkuat kuasa hari ini, susulan keputusan bahawa keahliannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) digantung selama tiga tahun.
Chean Chung berkata, beliau telah menerima keputusan berkenaan pada kelmarin selain mendakwa akses terhadap peruntukan RM3 juta untuk Petaling Jaya telah disekat dan digunakan oleh wakil parti.
“Kini keadaan menjadi lebih serius, saya tidak lagi boleh berbahas atau menyatakan pendirian dalam parti, sedangkan pengurusan peruntukan kawasan pula diambil alih melalui proses yang tidak telus.
“Selama ini saya bersuara mengenai pelbagai isu rakyat. Isu URA (Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar), sistem yang memonopoli pengambilan pekerja asing, cukai SST (jualan dan perkhidmatan), kemasukan pemegang STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) ke universiti yang kurang adil, garis panduan RIBI (Rumah Ibadat Bukan Islam ) Selangor, dan banyak lagi.
“Jangkaannya, ini antara sebab-sebab yang mengakibatkan saya digantung. Namun, masalah rakyat tidak akan berhenti hanya kerana saya diarahkan untuk diam. Adakah saya patut terus menerima gaji sebagai Ahli Parlimen, tetapi hanya duduk senyap seperti tunggul?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebagai Ahli Parlimen penyokong kerajaan, mungkin ramai menyangkanya mengikuti strategi sebenar Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan hala tuju negara.
“Hakikatnya, saya juga seperti rakyat biasa, semakin keliru dan sukar memahami hala tuju kerajaan ini. Dahulu, Pakatan Harapan (PH) mengkritik Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kerana gagal membawa negara ke arah yang betul.
“Hari ini, apabila berdepan pelbagai kontroversi, kita pula semakin kerap diminta meyakinkan diri bahawa ‘sekurang-kurangnya kerajaan sekarang lebih baik daripada dahulu’,” katanya.
Mengimbas penglibatan dalam politik, beliau berkata, PKR ialah parti politik pertama disertainya.
“Saya tinggalkan kerjaya korporat, dan memberikan sebahagian besar usia muda saya kepada perjuangan ini kerana saya percaya politik harus digunakan untuk membela mereka yang diperlakukan secara tidak adil. Dari 2008 hingga 2022, saya melalui tekanan politik, turun ke jalan raya kerana skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad), didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman dan berulang kali hadir ke mahkamah.
“Saya tidak pernah menyesal. Saya berterima kasih kepada PKR atas peluang sepanjang 18 tahun ini, dan kepada rakan-rakan seperjuangan yang masih percaya kepada politik bersih, reformasi institusi dan sebuah Malaysia yang meraikan kepelbagaian,” katanya.
Sementara itu, Chean Chung berkata, walaupun meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen, Pusat Khidmat Petaling Jaya akan terus beroperasi seperti biasa.
“Saya akan terus berdiri bersama rakyat Petaling Jaya dan menghubungkan kekuatan rakyat untuk mengubah budaya politik lama yang tidak lagi sesuai dengan Malaysia hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Digantung PKR, Lee Chean Chung letak jawatan Ahli Parlimen Petaling Jaya appeared first on Kosmo Online.





![[VIDEO] ‘Tak sabar nak halalkan hubungan kami’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/SADDIQ-1024x576.jpg)