Susulan isu kontroversi yang melanda dirinya, pempengaruh yang dikenali sebagai CEO Batu telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, semalam.
Memetik laporan Harian Metro, pempengaruh berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar mesej berunsur lucah kepada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada Khamis.
Perkara tersebut didedahkan oleh ibu remaja terbabit kepada penyanyi dan pempengaruh, Caprice. Beberapa tangkap layar mesej perbualan WhatsApp yang dikongsi memaparkan gambar tidak senonoh yang dihantar oleh lelaki berkenaan dengan alasan kononnya mahu menunjukkan parut pembedahan.
Caprice, menerusi satu hantaran di Instagram, memaklumkan bahawa beliau telah dihubungi oleh ibu remaja tersebut yang meminta bantuannya.
“Budak tu bawah umur. Sampai bila kita nak biar kes-kes macam ni? Sampai anak orang pun tak selamat,” katanya.
CEO Batu turut dilihat menghantar mesej permohonan maaf kepada ibu mangsa serta meluahkan hasrat untuk bertemu secara peribadi bagi menyelesaikan perkara itu.
Dalam hantaran tersebut juga, Caprice mendedahkan bahawa beberapa individu lain turut tampil mendakwa telah menjadi mangsa kepada CEO Batu.
The post Dikaitkan kontroversi hantar mesej tak senonoh, pempengaruh CEO Batu ditahan appeared first on The Reporter.


