Dikatakan Cuba Sailang Jadi Hos 'Melodi', Ain Edruce Hubungi Nabila Huda Beri Penjelasan

8 Aug 2022 • 8:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar Instagram Ain Edruce

Umum mengetahui tugas sebagai hos program hiburan 'Melodi' kini beralih tangan kepada Ain Edruce dan Haziq Hussni.

Sebelum ini, kerusi pengacara untuk program hiburan nombor satu Malaysia itu diisi oleh pelakon popular, Nabila Huda. 

Disebabkan pertukaran pengacara 'Melodi', ada yang beranggapan bahawa Ain cuba mencaras Nabila Huda sebagai hos. 

Menyedari tentang situasi ini, Ain memberitahu dia ada menghubungi Nabila Huda untuk menjelaskan keadaan sebenar.

image is not available
Gambar ihsan TV3

“Nak dijadikan cerita, sewaktu hari saya menjadi pengacara undangan bersama Abil, kami perlu menyampaikan cerita mengenai Che Ta yang dikatakan cuba mencaras Neelofa. 

“Tiba-tiba Abil cakap, Ain kalau kau nak caras ‘job’ aku pun boleh aja. Dalam hati saya waktu tu, dup dup dup. Apakah ini? Adakah Abil cuba memberi ‘hint’ saya akan jadi hos seterusnya. 

“Saya sebenarnya gementar juga bila Abil dapat tahu saya yang bakal menggantikan tempatnya. Jadi saya menghubunginya beritahu 'Melodi' ada tawarkan saya untuk menjadi hos. 

“Tapi Abil gembira untuk saya. Sebab kami di luar memang berkawan. Dia cakap teruskan. 'Kau memang sesuai buat 'Melodi' dari dulu lagi',” katanya ketika ditemui di sidang media memperkenalkan hos baharu 'Melodi'. 

image is not available
Gambar ihsan TV3

Ditanya tentang maklum balas penonton selepas beberapa minggu mengendalikan 'Melodi', kata Ain dia menerima pelbagai jenis komen.

“Banyak komen positif, yang negatif juga sudah tentu ada. Akan ada orang di luar sana yang masih tak faham cara saya mengacara.

“Ada orang komen saya suka menjerit sewaktu jadi pengacara. Mungkin mereka tak biasa lihat saya mengacara. Cara saya memang macam tu. 

“Sebenarnya bukan saya saja-saja menjerit. Kalau orang dah kenal saya lama, mereka akan tahu saya memang ada masalah suara. 

“Untuk saya lontarkan suara saya, memang saya kena jerit dan paksa suara saya. Kalau saya tak paksa, suara saya tak keluar. Itu yang membuatkan orang kata saya menjerit,” katanya.

image is not available
Ain Edruce dan Haziq Hussni - Gambar oleh Helmi Anuar

Bergandingan dengan rakan pengacara iaitu Haziq Hussni, kata Ain, dia tiada masalah untuk cipta keserasian kerana mereka memang berkawan, cuma belum pernah mengendalikan program bersama. 

“Sejujurnya saya sangat lega bila dapat tahu Haziq adalah gandingan saya untuk 'Melodi'. Senang untuk kami bekerjasama. 

“Sebenarnya, kami dah banyak kali terima tawaran untuk bekerjasama, tetapi asyik tak jadi. Tiba-tiba jadi untuk 'Melodi' dan ini adalah kali pertama kami bergandingan bersama,” katanya yang mengharapkan tugasnya sebagai hos 'Melodi' kekal lama. 

Jangan lupa untuk saksikan gandingan Ain Edruce dan Haziq Hussni dalam 'Melodi' setiap Ahad, 12.30 tengah hari di TV3. - Getaran, 8 Ogos 2022