
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (23 April) tular satu video memaparkan kemalangan yang berlaku di antara sebuah motosikal dan juga kereta jenis Perodua Myvi di Jalan 16/11 Petaling Jaya.
Menerusi video yang dikongsikan kelihatan motosikal berkenaan telah dirempuh oleh Myvi berkenaan daripada belakang. Jelas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat insiden terbabit dipercayai berlaku jam 7.10 pagi.
Motosikal terbabit telah dinaiki oleh dua individu yang berada di lorong kiri menukar laluan ke kanan secara mengejut. Disebabkan jarak yang hampir kereta di lorong kanan kemudiannya tidak sempat mengelak dan kemudian melanggar penunggang serta pembonceng motosikal berkenaan dan menyebabkan mereka jatuh di atas jalan, lapor Kosmo.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Pengangkutan Jalan 1959.
Namun penularan video itu menyebabkan pemandu wanita berkenaan dikecam selepas ada yang menuduhnya lari dan meninggal kedua-dua mangsa.
Hakikatnya, Shamsudin memaklumkan pemandu itu telah memberikan bantuan awal dengan menghantar mangsa ke klinik berdekatan serta tampil membuat laporan polis.
Pemandu wanita jelaskan tak lari, mohon maaf dan bawa mangsa ke klinik
Perkara sama turut dikongsikan oleh pemandu wanita berkenaan menerusi media sosialnya @_thewaaaaaa.
Memetik laporan Kosmo, wanita berkenaan memaklumkan perkara itu selepas mendapat pelbagai kecaman serta aidaian yang mendakwa dia tidak mahu bertanggungjawab atas kemalangan yang berlaku.
“Alhamdulillah dah selesai ya kawan-kawan. Silap saya sebab saya tak perasan motor dah bagi signal ke kanan.
“Saya brek tapi otak ‘lost’ bila tiba-tiba terlanggar orang. Saya dah minta maaf dekat mereka berdua seribu kali dan sudah bawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya.

