Dilaksana dengan pengecualian, penyasaran subsidi diesel diramal beri kesan minimum kepada inflasi - Kenanga Research
herman
27/05/2024 - 11:06
KUALA LUMPUR 27 Mei - Penyasaran subsidi diesel yang mungkin akan berkuat kuasa tidak lama lagi dijangka memberi kesan minimum terhadap inflasi keseluruhan, kata Kenanga Research.
Menurut firma penyelidikan itu, ini terutamanya disebabkan oleh pengecualian yang diberikan kepada kebanyakan kenderaan pengangkutan awam dan barang, serta kepada Sarawak dan Sabah.
Katanya, pengecualian seperti ini sepatutnya mengurangkan kesan pemindahan kos terhadap harga barang dan perkhidmatan oleh peniaga kepada pengguna.
"Walaupun demikian, ketidakpastian masih wujud mengenai masa dan mekanisme pemotongan subsidi bagi petrol RON95, yang berpotensi memberi tekanan yang signifikan terhadap Harga bagi pengguna," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Jelas Kenanga Reseach, walaupun dengan pertimbangan ini, prospek Harga baranga kelihatan agak terkawal, dengan jangkaan inflasi dijangka kekal di bawah 3.0% dalam beberapa tahun akan datang.
"Dengan potensi output disokong pelaburan yang lebih tinggi dan peningkatan produktiviti, Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin cenderung untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00%," jelasnya.
Tambah Kenanga Research, walaupun rekreasi dan kos lain-lain meningkat yang sebahagian disebabkan oleh peningkatan aktiviti pelancongan, inflasi tetap agak terkawal pada bulan lalu yang menyaksikan kekal 1.8% bagi tiga bulan berturut-turut.
Katanya, ini kerana komponen-komponen utama seperti makanan dan perumahan kekal agak stabil setiap bulan.
"Walau bagaimanapun, inflasi teras meningkat kepada 1.9% YoY (Mac: 1.7%), terutamanya disebabkan oleh peningkatan harga makanan asas, selain daripada barang-barang rekreasi dan pelbagai.
"Dari segi MoM, kedua-dua inflasi utama (Mac: 0.1%) dan teras (Mac: 0.2%) merekodkan kenaikan sebanyak 0.2%, mencerminkan tekanan harga yang sederhana di seluruh komponen-komponen," ujarnya. - DagangNews.com


