Dilanggar Kenderaan Perisai Polis, Prabowo Arah Siasatan Telus Insiden ‘Rider’ Maut Ketika Demonstrasi

WorldPolitics
29 Aug 2025 • 5:32 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

image is not available
Dilanggar Kenderaan Perisai Polis, Prabowo Arah Siasatan Telus Insiden 'Rider' Maut Ketika Demonstrasi

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyampaikan rasa dukacita terhadap insiden yang mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal perkhidmatan e-hailing dalam kejadian demonstrasi berdekatan Bangunan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Jakarta pada malam Khamis.

Dilanggar kenderaan perisai polis

Mangsa, Affan Kurniawan dilaporkan meninggal dunia selepas dilanggar kenderaan berperisai polis milik pihak berkuasa ketika rusuhan berlaku di kawasan Pejompongan, Jakarta Pusat.

image is not available

Foto: Media sosial

“Atas nama peribadi dan Pemerintah Republik Indonesia, saya mengucapkan takziah serta menyampaikan bela sungkawa yang sedalam-dalamnya. Saya amat prihatin dan sangat sedih dengan peristiwa ini,” kata Prabowo dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberi jaminan kerajaan akan memastikan kebajikan keluarga mangsa terbela, termasuk memberi perhatian khusus kepada kedua orang tua serta adik-beradiknya.

Malah, Prabowo turut menegaskan beliau terkejut dan kecewa dengan tindakan keterlaluan anggota yang terlibat selain sudah mengarahkan siasatan dijalankan secara telus.

“Insiden berkenaan mesti disiasat secara menyeluruh dan terbuka. Petugas-petugas yang terbukti melampaui batas akan dikenakan tindakan paling keras mengikut undang-undang,” tegasnya.

Dalam pada itu, Prabowo menyeru rakyat bertenang serta tidak terpengaruh dengan anasir yang cuba mencetuskan huru-hara dan kekacauan.

“Bangsa kita sedang memperkukuh diri, sedang mengumpulkan tenaga dan kekuatan untuk membina negara yang kuat dan sejahtera. Aspirasi yang sah boleh disampaikan, tetapi jangan biarkan kelompok tertentu mengganggu keamanan negara,” katanya lagi.

image is not available

Foto: Media sosial

Pada masa sama, Prabowo dengan memberi jaminan bahawa kerajaan pimpinannya komited mendengar keluhan rakyat dan mengambil langkah sewajarnya bagi memperbaiki kelemahan yang ada.

Terdahulu, media melaporkan kenderaan polis tersebut telah merempuh Kurniawan walaupun Allahyarham bukan peserta tunjuk perasaan berhubung bantahan mengenai isu gaji ahli parlimen dan peruntukan pendidikan.

image is not available

Foto: Media sosial

Difahamkan, ratusan penunggang ojek dalam talian (ojol) mengiringi jenazah pemuda berusia 21 tahun itu ke tanah perkuburan untuk pengebumian hari ini.

Sumber: Instagram Prabowo