Dilanggar Lori: Cuba Keluarkan Anak, Lelaki Kongsi Dengar Ibu Gajah Nangis Merintih Tak Mahu Berpisah

LocalEnvironment
12 May 2025 • 12:20 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

“Saya boleh dengar ibu gajah nangis sambil menolak lori untuk cuba keluarkan anaknya.”

Demikian luahan sayu Amir Faizal, salah seorang anggota rondaan keselamatan yang menyaksikan detik menyayat hati di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, apabila seekor anak gajah dilanggar mati oleh sebuah lori muatan ayam.

Kejadian yang berlaku semalam itu meninggalkan kesan mendalam buat sesiapa sahaja yang menyaksikannya. Dalam satu siaran langsung di Facebook, Amir menceritakan bagaimana si ibu gajah cuba sekuat tenaga untuk menarik anaknya yang masih bernyawa ketika itu.

“Satu bunyi kuat yang dikeluarkan oleh ibu gajah itu ketika dia cuba menarik anaknya daripada kepala lori yang pada ketika itu masih hidup,” katanya dalam nada sebak.

image is not available

Dengar Ibu Gajah Nangis, Cuba Selamatkan Anak

Menurutnya lagi, ibu gajah tersebut tidak mampu menolak lori berkenaan dan akhirnya akur dengan takdir apabila pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tiba di lokasi.

Rakaman video berdurasi seminit 11 saat yang kini tular di media sosial memaparkan detik memilukan itu, apabila ibu gajah setia menemani anaknya yang terperosok di bawah lori sambil mengerang dan cuba mengalihkan kenderaan berat berkenaan.

image is not available

Netizen di media sosial turut sama menzahirkan rasa pilu dan kagum dengan naluri keibuan yang luar biasa ditunjukkan oleh haiwan liar tersebut.

Kejadian ini turut mencetuskan perbincangan hangat mengenai keperluan langkah keselamatan lebih berkesan di laluan JRTB yang sering menjadi lokasi persinggahan gajah liar.

image is not available

Pihak Perhilitan dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan, dan menyeru agar pemandu sentiasa peka serta memandu dengan cermat di kawasan yang menjadi habitat haiwan liar.

Sumber: FB Mohd Amir Faizal