Dilantik kontraktor panel Petronas Carigali, peluang Dayang raih kadar sewa kapal lebih tinggi - Kenanga Research

16 Aug 2024 • 4:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Dilantik kontraktor panel Petronas Carigali, peluang Dayang raih kadar sewa kapal lebih tinggi - Kenanga Research

herman

16/08/2024 - 16:37

KUALA LMPUR 16 Ogos - Pelantikan subsidiari Dayang Enterprise Holdings Bhd sebagai salah satu kontraktor panel Petronas Carigali untuk perkhidmatan kapal sokongan luar pesisir (OSV) merupakan perkembangan positif kepada Kumpulan tersebut yang kini memiliki tujuh kapal jenis tersebut.

Kenanga Research berkata, pelantikan ini membolehkan Dayang memperoleh manfaat daripada kadar sewaan yang lebih tinggi untuk kapal-kapal miliknya bagi tempoh beberapa tahun akan datang.

"Daripada tujuh kapal OSV Dayang, lima adalah kapal kerja penyelenggaraan dan dua bot bekalan.

"Berdasarkan pemahaman kami, kapal-kapal ini digunakan terutamanya untuk kerja-kerja penyelenggaraan luar pesisir walaupun kapal-kapal ini mempunyai kapasiti yang lebih kecil berbanding bot kerja penginapan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Petronas Carigali telah melantik DESB Marine Services Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Dayang Enterprise sebagai salah satu kontraktor panel untuk perkhidmatan OSV.

Menurut Kenanga Research, semakan pihaknya menunjukkan kapal-kapal ini mungkin memperoleh kadar sewaan harian (DCR) dalam julat RM10,000 hingga RM15,000.

Kata firma itu, ini mewakili peningkatan ketara berbanding kadar FY23, yang dianggarkan pada RM8,000 hingga RM11,000.

"Sebagai kontraktor panel yang telah diluluskan, kapal-kapal Dayang akan layak untuk membida sewaan berpotensi (antara minggu hingga setahun) daripada Petronas Carigali dengan masa penyampaian yang lebih pendek sepanjang tiga tahun akan datang.

"Walaupun penyertaan ini tidak menjamin kerja yang tetap untuk kapal-kapalnya, kami percaya bahawa jangkaan peningkatan dalam aktiviti penyelenggaraan luar pesisir akan membolehkan kapal-kapalnya mencapai andaian penggunaan kapal 80% kami untuk tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24 dan FY25)," jelasnya.

Kenanga Research dalam pada itu mengekalkan ramalan pendapatan kerana telah memasukkan 80% penggunaan kapal dan kenaikan kadar sebanyak 13% untuk kapal-kapalnya bagi FY24 dan FY25.

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan harga sasaran (TP) Dayang RM3.31 sesaham dan saranan OUTPERFORM.

"Kami menyukai Dayang kerana jangkaan peningkatan dalam aktiviti penyelenggaraan huluan serta peluasan margin projek yang dijangkakan disebabkan terma kontrak yang lebih baik, kunci kira-kira bersih tunai yang membolehkan lebih banyak peluasan potensi, dan bahagian marinanya dijangka mendapat manfaat daripada lonjakan kitaran naik OSV berikutan kekurangan bekalan di pasaran OSV tempatan," ujarnya. - DagangNews.com