‘Dilema Tikus’ Ungkap Paradoks Nilai dan Peranan Ilmu untuk Masyarakat

4 Nov 2025 • 2:30 PM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: ‘Dilema Tikus’ Ungkap Paradoks Nilai dan Peranan Ilmu untuk Masyarakat
Profesor Dr. Haniza Hanim ketika menyampaikan syarahan bertajuk “Dilema Tikus: Suatu Paradoks Nilai”. Photo credit: Fisol

TANJONG MALIM — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh tradisi keilmuan melalui penganjuran Majlis Syarahan Budiman yang menampilkan Profesor Dr. Haniza Hanim Mohd Zain dengan syarahan bertajuk “Dilema Tikus: Suatu Paradoks Nilai”.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, dalam ucapan beliau menzahirkan rasa bangga terhadap sumbangan Profesor Dr. Haniza yang disifatkan sebagai seorang tokoh ilmuwan berwibawa dan komited dalam dunia penyelidikan sains.

Beliau berkata, tajuk yang diangkat melalui syarahan tersebut amat menarik kerana mengungkap paradoks nilai terhadap seekor tikus yang sering dianggap sebagai makhluk perosak, namun memainkan peranan besar dalam kemajuan sains dan perubatan moden.

“Tikus sering dilihat membawa risiko penyakit dan kerosakan, tetapi dalam dunia sains, ia menjadi teman setia para penyelidik yang membantu membuka jalan kepada penemuan penting dalam bidang perubatan, genetik dan vaksin.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis berkenaan di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Jumaat lalu.

Image from: ‘Dilema Tikus’ Ungkap Paradoks Nilai dan Peranan Ilmu untuk Masyarakat
Suasana Majlis Syarahan Budiman bertajuk “Dilema Tikus: Suatu Paradoks Nilai” Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Photo credit: Fisol

Menurut beliau, di sinilah terletaknya nilai simbolik terhadap “dilema” yang disentuh bahawa sesuatu yang dipandang hina sebenarnya mampu memberi manfaat besar kepada kemanusiaan apabila dilihat melalui kaca mata ilmu.

Tambah Md Amin, penyelidikan seperti yang dibawa oleh Prof. Dr. Haniza bukan sekadar bersifat saintifik, tetapi turut menyentuh dimensi sosial dan kemanusiaan apabila hasil dapatan boleh diaplikasi dalam dasar kesihatan awam, pengurusan ekosistem serta pembangunan lestari.

“UPSI percaya bahawa ilmu tidak boleh terperangkap di dinding makmal atau menara gading semata-mata. Penyelidikan mesti menyentuh kehidupan masyarakat dan membawa manfaat sejagat,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Prof. Dr. Haniza atas sumbangan besar beliau dalam dunia akademik, penyelidikan dan khidmat masyarakat sepanjang lebih 28 tahun dalam bidang pendidikan tinggi.

Katanya, ketekunan dan dedikasi Profesor Dr. Haniza bukan sahaja mengharumkan nama fakulti dan universiti, malah turut memperkayakan landskap penyelidikan sains di negara ini.

Majlis Syarahan Budiman merupakan platform tradisi UPSI dalam meraikan ilmuwan terpilih yang telah mencapai tahap kecemerlangan akademik serta memberikan sumbangan signifikan terhadap pembangunan ilmu dan masyarakat.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.