Dilepaskan JDT, Akhyar Rashid Kini Sarung Jersi TFC – “Terima Kasih Tunku Mahkota Ismail”

LocalFootball
16 Jan 2025 • 4:33 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Bintang lincah skuad bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid menzahirkan rasa terharu selepas dilepaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk beraksi bersama Terengganu FC (TFC).

image is not available

Foto: Facebook Akhyar Rashid

Menurut laporan Berita Harian, pemain kelahiran Kedah itu kini akan menyarung jersi TFC secara tetap sehingga musim 2027 selepas mendapat persetujuan daripada pemilik kelab gergasi Liga Malaysia (Liga M), Tunku Mahkota Ismail.

“Peluang yang diberikan kepada saya untuk terus menyarung jersi TFC sehingga musim 2027 akan dimanfaatkan sebaik mungkin dalam meningkatkan lagi kualiti permainan, terima kasih juga kepada pihak pengurusan TFC,” katanya.

Pada masa sama, pemain berusia 25 tahun itu turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan bekas kelabnya yang banyak membantu meningkatkan kualiti permainannya.

Pelepasan ikatan itu untuk memastikan aset pasukan kebangsaan itu terus bersinar kerana khidmatnya ditagih skuad negara.

image is not available

Foto: Facebook Akhyar Rashid

Terdahulu, Akhyar secara rasmi sah tidak lagi bergelar pemain pinjaman JDT selepas Tunku Ismail memberi persetujuan untuk menyarung jersi skuad Penyu secara tetap.

Pengumuman tersebut membolehkan pemain Harimau Malaya berketinggian 1.70 meter itu beraksi menentang bekas kelab majikannya pada aksi separuh akhir pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam esok.

Kapten TFC, Safawi Rasid bagaimanapun belum dapat beraksi menentang skuad Harimau Selatan kerana masih lagi bergelar pemain pinjaman JDT berdasarkan perjanjian budiman antara kedua-dua pihak.

Sementara itu, seorang lagi pemain pinjaman JDT Muhammad Azam Azmi Murad dibenarkan beraksi menentang JDT selepas mendapat kebenaran daripada kelab gergasi tersebut.

Sumber: Berita Harian (Malik Muhamad)