
PASIR PUTEH – Seorang warga emas sentiasa bimbang keselamatan dirinya sekiranya rumah pusaka berusia lebih 40 tahun didiaminya yang semakin uzur roboh secara tiba-tiba lebih-lebih lagi sewaktu hujan lebat disertai angin kuat.
Azis Abas, 66, berkata, rumah peninggalan arwah bapanya itu kini mengalami kerosakan teruk termasuk dinding reput, lantai patah, selain bumbung zink yang banyak mengalami kebocoran.
Katanya, dia tidak mempunyai pilihan selain tetap bertahan tinggal di rumah itu kerana tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk melakukan kerja-kerja pembaikan dan hanya mampu berdoa agar kediaman itu tidak roboh menyembah bumi.
“Saya memang takut juga, terutama apabila hujan lebat. Ada bahagian lantai yang sudah patah dan dinding pula semakin reput.
“Bumbung zink juga banyak yang bocor menyebabkan air hujan masuk ke dalam rumah. Saya tidak ada pilihan kerana inilah satu-satunya tempat saya berteduh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Golok di sini baru-baru ini.
Menurutnya, dia hanya bergantung kepada pendapatan melakukan kerja-kerja kampung secara sambilan, selain bantuan anak saudara bagi meneruskan kehidupan.
Katanya, pendapatan yang diperoleh sekadar cukup untuk keperluan harian dan tidak mampu menampung kos membaiki rumah.
“Saya kerja kampung, kalau ada orang panggil, ada duit. Kalau tiada kerja, tiadalah pendapatan. Memang kais pagi makan pagi.
“Kalau hendak baiki rumah, memang saya tidak mampu. Kos untuk membeli zink, kayu dan membaiki lantai pun sudah tentu memerlukan wang yang banyak,” katanya.
Azis berharap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan bagi membaiki atau membina semula kediamannya supaya dia dapat menjalani kehidupan dalam keadaan lebih selamat dan selesa.
“Saya bukan mahu rumah besar atau cantik.
“Cukuplah kalau ada tempat yang selamat untuk saya tinggal dan tidak perlu lagi risau rumah roboh apabila hujan atau angin kuat,” katanya.
Orang ramai yang ingin memberi bantuan boleh menghubungi cucu saudaranya, Ayie Zakaria di talian 011-293 40763 atau terus menyumbang ke akaun Bank Islam milik Azis bernombor 03090020656627.
The post Dinding reput, lantai patah tunggu masa rebah appeared first on Kosmo Digital.
