Penyanyi senior terkenal, Datuk Zainal Abidin menyelar sikap segelintir peminat yang terlampau taksub dengans seseorang artis yang dikatakan agak kurang ajar dan bodoh.
Peminat sekarang kurang ajar
Memetik laporan BH Online, pelatun lagu Hijau mengeluarkan kenyataan tersebut kerana berang dengan kelakuan dan sifat yang ditunjukkan oleh peminat ketika menulis sesuatu komen dalam platform media sosial.
Penyanyi berusia 63 tahun itu menasihati para peminat untuk memikir terlebih dahulu sebelum menulis sebarang komen kerana ia boleh mengguris perasaan seseorang.
“Peminat sekarang kurang ajar dan bodoh. Mereka selalunya memuat naik dahulu, kemudiannya baru fikir.
“Cubalah fikir dahulu, baru muat naik komen. Kalau nasihat dan tegur baik-baik, saya terima, tetapi saya pula dihentam.
“Sehingga ada yang panggil saya sebagai pakcik tua nak mampus, kubur dah panggil,” luahnya.
Jaga adab, jangan guna bahasa kasar
Oleh itu, Zainal berharap agar golongan peminat untuk menjaga adab mereka terutamanya ketika meninggalkan komen dalam media sosial tanpa menggunakan bahasa kasar.
“Janganlah guna bahasa kasar sebegitu. Daripada saya nak dengar nasihat, terus berubah jadi benci.
“Kita orang Melayu, beragama Islam yang ada adab dan adat.
“Walaupun anda ustaz sekalipun, kalau tiada adab baik, saya tetap tak dapat terima,”luah Zainal lagi.
Sebelum ini, pelatun bersuara emas itu menerima kecaman hebat di kalangan warganet apabila memberi teguran terhadap seorang penyanyi wanita popular sehingga dikatakan menumpang populariti selebriti berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Zainal bakal mengadakan konsert bersempena meraikan pembabitannya ke-30 tahun dalam dunia seni akan diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 30 September ini.
Sumber: BH Online (Farihad Shalla Mahmud), Instagram @zainal.hijau
The post Dipanggil ‘pakcik tua’, Zainal Abidin sifatkan peminat sekarang kurang ajar appeared first on OH MY MEDIA.


