
Dipercayai Mengandungi Cecair Nitrogen Berlebihan, Kementerian Kesihatan Indonesia Beri Amaran Mengenai Bahaya Snek Berasap
JAKARTA — Kementerian Kesihatan Indonesia dalam satu kenyataan memberi amaran kepada semua pihak agar lebih berwaspada terhadap makanan jalanan Ice Smoke atau dikenali snek nitrogen cecair di sana kerana dipercayai mengandungi cecair nitrogen berlebihan.
Dalam kenyataan tersebut, Ketua Pengarah Pencegahan dan Pengendalian Penyakit, Maxi Rein Rondonuwu berkata penggunaan cecair nitrogen berlebihan pada makanan tersebut boleh mendatangkan masalah kesihatan kepada orang awam.
“Ice Smoke atau Ciki Ngebul merupakan makanan ringan yang digemari oleh kanak-kanak. Apabila Ciki Ngebul dimakan ia bukan sahaja memberi sensasi sejuk namun mulut juga mengeluarkan asap.
“Asap itu terhasil daripada cecair nitrogen yang berada pada keadaan takat suhu yang rendah,” katanya dalam kenyataan itu.
Tambahnya, penambahan cecair nitrogen dalam makanan tersebut tidak mengikut Standard Operating Procedures (SOP) boleh menyebabkan masalah kesihatan atau keracunan makanan seperti radang dingin yang mengakibatkan lecur terutamanya pada beberapa tisu lembut seperti kulit.
Selain itu, asap yang disedut daripada makanan atau minuman yang menggunakan cecair nitrogen juga boleh mencetuskan kesukaran bernafas yang teruk selain tekak berasa terbakar akibat suhu sejuk melampau selepas bersentuhan secara langsung pada organ badan atau lebih teruk berlaku kerosakan organ dalaman.
BACA JUGA: Derinkuyu Yang Misteri, Kenali Bandar Bawah Tanah Di Turkiye, Pernah Dihuni 20,000 Penduduk
Oleh hal demikian, Pejabat Kesihatan Wilayah, Daerah, Bandar, Puskesmas dan B/BTKLPP serta Pejabat Kesihatan Pelabuhan akan melaksanakan penyeliaan produk makanan siap saji yang menggunakan cecair nitrogen itu.
“Ia bagi memberikan pendidikan kepada peniaga, pihak terlibat, sekolah, kanak-kanak dan orang awam mengenai bahaya cecair nitrogen dalam makanan siap saji.
“Untuk restoran yang menggunakan cecair nitrogen dalam produk makanan mestilah di bawah bimbingan dan seliaan Perkhidmatan Kesihatan Tempatan serta pihak berkaitan tentang maklumat penggunaan yang selamat kepada pengguna.
“Bagi gerai makanan (TPP), seperti kedai tidak digalakkan menjual snek cecair nitrogen dalam produk makanan yang dijual,” jelasnya lagi.
Menurut Rondonuwu, jika terdapat keracunan makanan yang disebabkan oleh penambahan cecair nitrogen, kes itu akan disiasat oleh Pasukan Tindakan Pantas (TGC) selaras dengan Peraturan Menteri Kesihatan No. 2 Tahun 2013 mengenai Peristiwa Luar Biasa (KLB) keracunan makanan.
Terdahulu, tiga kes keracunan makanan akibat cecair nitrogen telah dilaporkan. Kes pertama berlaku pada bulan Julai 2022 melibatkan seorang kanak-kanak yang menyebabkan berlaku kelecuran akibat Ice smoke.
Manakala pada 19 November 2022, seramai 23 orang dilaporkan keracunan Ciki Ngebul.
Selain itu, pada 21 Disember 2022 UGD Rumah Sakit Haji Jakarta melaporkan menerima pesakit kanak-kanak berusia dua dan empat tahun akibat memakan makanan tersebut.
Sumber: Kementerian Kesihatan Indonesia
The post Dipercayai Mengandungi Cecair Nitrogen Berlebihan, Kementerian Kesihatan Indonesia Beri Amaran Mengenai Bahaya Snek Berasap appeared first on Siakap Keli.




