Dipersoal Kerana Sering Guna Kalimah Orang Islam, Nga Kor Ming Beri Penjelasan [Video]

LocalPolitics
5 Feb 2026 • 11:33 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyatakan bahawa kalimah sinonim dengan umat Islam seperti ‘Alhamdulilah’ dan ‘Insya-Allah’ yang sering disebutnya bukanlah bertujuan mempermainkan agama suci itu.

Beliau menyatakan perkara itu selepas disoal Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff mengenai tindakannya menyebut kalimah-kalimah tersebut ketika sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat semalam (4 Februari).

Dalam sesi terbabit, Nga Kor Ming turut meminta agar Siti Zailah bertenang dan tidak terlalu emosional.

“Kita anak Malaysia, kita hormati agama Islam sebagai agama persekutuan” – Nga Kor Ming

Nga mengakui bahawa dirinya merupakan anak jati Kelantan yang menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan.

“Jangan emosi, kita rasionalisasi. YB kad pengenalan 03, saya pun 03. Saya juga anak Kelantan. Sebab itu saya kata, kita anak Malaysia, kita hormati agama Islam sebagai agama Persekutuan, mana ada dipermainkan.

“Itu (tuduhan sedemikian) kurang elok. Sebagai orang beriman saya yakin YB pun harap kita sama-sama hormat-menghormati, malah dalam kerangka MADANI itu ada hormat dan ehsan.

“Alhamdulillah itu perkataan Arab, sebagaimana insya-Allah bermakna ‘if God willing’ (dengan izin Allah), jadi (ini bermaksud) saya bersyukur,” katanya.

Menurutnya, beliau berharap agar isu berkenaan tidak dibesarkan kerana ia hanya cenderung membawa kepada keretakan dalam perpaduan kaum di negara ini.

Sifatkan tindakan Nga seolah permainkan kesucian Islam

Sebelum ini, Siti Zailah menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Teluk Intan itu menyebut kalimah-kalimah terbabit seolah-olah mempermainkan kesucian Islam selain dapat mengelirukan masyarakat non-Muslim.

“YB dalam penggulungan banyak guna kalimah orang Islam, nak sujud syukur, Alhamdulillah, bersyukur, adakah YB beriman? Adakah percaya dengan Allah? Kami tak mahu kalimah ini dipermainkan.

“Ini seolah-olah sentuh 3R (isu sensitif berkaitan raja, agama dan kaum) yang kami diminta menjaga (percakapan), kami tak nak ia mengelirukan orang bukan Islam, kalau YB orang Islam, saya tak kisah,” kata Siti Zailah.

MP Shah Alam kagum Kor Ming sering guna kalimah sinonim dengan umat Islam

Bagaimanapun, tindakan Pengerusi DAP itu mendapat sokongan Ahli Parlimen Shah Alam daripada parti Amanah, Azli Yusof yang menyuarakan kekagumannya berikutan Kor Ming sering menggunakan kalimah sinonim dengan masyarakat Islam.

“Sebagai orang Islam, saya sangat berbesar hati apabila YB mampu mengucapkan kalimah yang sering digunakan masyarakat Islam.

“Kalau di negara Arab, perkataan (seperti Alhamdulillah) biasa digunakan tak kira dalam kalangan Islam atau tak, saya berbangga dan doakan mudah-mudahan YB diberi hidayah oleh Allah SWT,” katanya.