Dipuji setanding Beto Kusyairy, Haidar Hasanudin mahu kekal merendah diri

Entertainment
25 Aug 2026 • 12:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dipuji setanding Beto Kusyairy, Haidar Hasanudin mahu kekal merendah diri

KUALA LUMPUR: Sambutan luar biasa drama Cinta Dalam Sekam bukan sahaja melonjakkan perhatian terhadap karya berkenaan, malah membuka ruang buat pelakon Haidar Hasanudin membuktikan kemampuan menerusi watak Shafiq.

Meskipun namanya semakin menjadi sebutan penonton, Haidar memilih untuk tidak terlalu selesa dengan pujian yang diterima, sebaliknya menganggapnya sebagai dorongan untuk terus memperbaiki mutu lakonan.

Menurut Haidar, perkara yang paling menyentuh perasaannya apabila sebahagian besar pujian datang daripada penonton yang sebelum ini tidak pernah mengenali mahupun mengikuti perjalanan seninya.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur. Saya tak sangka Cinta Dalam Sekam diterima baik seperti ini.

“Banyak komen yang saya baca datang daripada orang yang sebelum ini tak pernah kenal saya. Jadi bagi saya, mereka menilai berdasarkan apa yang mereka lihat menerusi watak Shafiq.

“Bila orang yang tak pernah mengikuti kerja kita tiba-tiba memberikan pujian selepas menonton, perkara itu memang memberikan satu perasaan yang berbeza,” katanya.

Haidar berkata, setiap komen positif yang diterima tetap dihargainya, namun dia sedar pujian boleh menjadi perangkap sekiranya seorang pelakon terlalu cepat berasa selesa dengan pencapaian sendiri.

“Saya hargai setiap komen dan mesej yang diberikan, tetapi saya tak mahu terlalu hanyut. Saya anggap semuanya sebagai penghargaan dan semangat untuk cuba buat lebih baik dalam karya akan datang.

“Untuk berdiri sebaris dengan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Bront Palarae dan ramai lagi itu sangat jauh perjalanannya, tapi saya yakin, jika saya berusaha gigih, saya pasti sampai ke tahap itu,” katanya.

Watak Shafiq yang dibawakan Haidar menerusi drama arahan Feroz Kader itu turut mendapat perhatian pengguna media sosial.

Lakonannya bersama Amir Ahnaf dan Siti Khadijah Halim dianggap bersahaja, namun tetap mampu menyampaikan konflik serta emosi watak dengan berkesan.

Malah, ada penonton yang mula menyifatkan Haidar sebagai antara pelakon lelaki generasi baharu yang berpotensi pergi lebih jauh, termasuk melihatnya sebagai calon pelapis kepada aktor berkaliber seperti Beto Kusyairy.

Ada juga yang berpendapat persembahan Haidar sebagai Shafiq cukup kuat sehingga layak dipertimbangkan untuk menerima pengiktirafan menerusi anugerah.

Bagi Haidar yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur, penerimaan tersebut memberi makna besar selepas kira-kira empat tahun membina kerjaya sebagai pelakon.

Dalam masa sama, dia berharap kejayaan Cinta Dalam Sekam dapat menjadi pembuka jalan kepada lebih banyak peluang selepas ini.

“Saya sendiri pernah tertanya, dalam ramai pelakon muda yang bagus dan mempunyai nama besar, macam mana mereka boleh terfikir untuk pilih saya?

“Jadi apabila cerita ini mendapat sambutan dan maklum balas yang sangat positif, saya cuma berharap ia boleh membuka mata penerbit atau stesen terhadap kemampuan saya,” katanya.

Cinta Dalam Sekam yang mula ditayangkan pada Julai lalu dilaporkan mencatat lebih 101 juta tontonan di media sosial, selain menduduki kedudukan teratas di platform penstriman Viu.

Terbitan Global Station, drama itu turut menampilkan Riz Amin, Husna Mustaffa, Yuna Rahim dan Datuk Razak Ahmad.

The post Dipuji setanding Beto Kusyairy, Haidar Hasanudin mahu kekal merendah diri appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved