
KUALA LUMPUR – Bekas personaliti televisyen, Nik Suryani Megat Deraman mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Exco Wanita UMNO pada pemilihan parti kali ini.
Beliau yang juga Ahli UMNO Cawangan Kubang Kepong, Marang, Terengganu telah menghantar surat pencalonan pada 4.30 petang semalam di Menara Dato’ Onn.
Nik Suryani yang juga isteri kepada Saiful Bukhari Azlan berkata, beliau nekad untuk meneruskan perjuangan dalam Wanita UMNO selepas menjadi ahli sejak 2012.
“Hasrat saya menawarkan diri ini adalah untuk meneruskan kesinambungan perjuangan, pengorbanan dan khidmat bakti Wanita UMNO pada negara sejak sebelum merdeka, selain berkongsi pengalaman selaku pengamal media dan industri kreatif yang telah berkecimpung hampir 20 tahun.
**media[2095346]**
“Mudah-mudahan dengan sumbangan kecil saya ini, dan juga seluruh ahli UMNO, parti keramat ini akan terus mara, relevan, sebagai wadah membela agama, bangsa dan tanah air tercinta," katanya menerusi Facebook pada Khamis.
Tambahnya, hasrat berkenaan turut mendapat restu daripada ahli keluarga dan suami.
Nik Suryani merupakan bekas wartawan dan pembaca berita TV3 kini berkecimpung dalam dunia perniagaan, media dan industri kreatif.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Khaidirah Abu Zahar (Dira Abu Zahar) menawarkan diri sebagai calon Ketua Puteri UMNO.
Media melaporkan Dira menawarkan diri sebagai calon Ketua Puteri UMNO kerana ingin mengembalikan aura taring sayap UMNO seperti awal penubuhannya suatu ketika dahulu.
Beliau yang juga penerbit rancangan televisyen berkata, keputusan itu dibuat kerana mahu mengangkat dan memperjuangkan suara anak muda supaya mendapat perhatian serta pembelaan kerajaan.
Menerusi catatan Facebooknya selepas mengadakan pertemuan dengan Puteri UMNO Selangor hari ini, beliau bersyukur dan menyifatkan Puteri UMNO Selangor sebagai luar biasa.
"Banyak perkara yang dikongsikan bersama khususnya Puteri UMNO melangkah ke hadapan.
**media[2095347]**
"Dengan semangat ingin memacu Puteri dan agenda wanita muda, saya yakin kita boleh bergerak sepasukan merealisasikan impian dengan kepimpinan dan pasukan yang mantap," katanya menerusi Facebook pada Khamis.
Pengumuman selanjutnya berhubung keputusan beliau itu akan diumum pada sidang media yang dijangka berlangsung di jam 11 malam ini di Menara Dato' Onn.
Difahamkan pemilihan bagi jawatan sayap-sayap UMNO, termasuk wanita akan berlangsung pada 11 Mac ini.

