Pada hari ini, terdapat pelbagai platform yang menawarkan kemudahan untuk pembelajaran. Tetapi, penawaran tempatan adalah masih terhad dan kini DIRI diperkenalkan dalam memenuhi ruangan tersebut.

DIRI menawarkan platform perkongsian ilmu, pengalaman, dan pendapat dalam bentuk video – lebih kurang sama seperti MasterClass. DIRI dilihat menghimpunkan kandungan melibatkan sejumlah tokoh-tokoh dan bakat tempatan, termasuk seperti Abdul Wahid Omar, Nazir Razak, dan juga Nicole David.
Dengan perkongsian daripada pelbagai tokoh dan bakat tempatan, ia akan memudahkan lagi pendekatan kaedah perkongsian ilmu – selain memudahkan pemahaman oleh para pengguna tempatan.
Buat masa ini, DIRI memfokuskan kepada langganan secara perusahaan – dimana setiap pekerja dikenakan bayaran serendah RM10 sebulan untuk mengakses ke platform berkenaan. Namun, harga ini adalah harga pengenalan sahaja, dan mungkin berubah selepas fasa pengenalan. Pada masa yang sama, ia turut ditekankan yang mana majikan boleh menebus bayaran ini dibawah HRDC.
Bergerak ke hadapan, DIRI akan turut memperluaskan penawaran untuk pengguna individu dan juga pelajar. DIRI menyasarkan untuk memulakan penawaran dengan tiga kursus bermula 30 November 2023 ini, dan berharap untuk menambah sekurang-kurangnya 2 perkongsian individu baharu setiap bulan.
Bagi anda yang berminat, boleh menyemak laman DIRI hari ini.
