Disangka Bau Bangkai, Rangka Lelaki Warga Kemboja Ditemui Dalam Siling Rumah Di Thailand

9 Jan 2026 • 11:52 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

BANGKOK – Bau busuk yang disangka berpunca daripada bangkai biawak rupa-rupanya membawa kepada penemuan mengejutkan apabila rangka manusia milik seorang lelaki warga Kemboja ditemui tersembunyi di dalam siling sebuah rumah dua tingkat di Thailand.

Kejadian itu berlaku di Lam Luk Ka, wilayah Pathum Thani, apabila sekumpulan pekerja pembinaan yang sedang melakukan kerja pengubahsuaian menemui rangka berkenaan secara tidak sengaja.

Menurut polis, rangka manusia itu berada di siling sebuah bilik di tingkat dua, dengan kesan kotoran pada dinding yang dipercayai berpunca daripada cecair mayat.

Salah seorang pekerja binaan, Kanchana, 59, memaklumkan bahawa dia ditugaskan membaiki lubang pada siling sebelum dikejutkan dengan kemunculan tengkorak manusia yang terjulur keluar.

“Saya dan rakan sekerja sudah lama terhidu bau busuk yang sangat kuat di dalam rumah ini sejak kerja pengubahsuaian bermula. Kami sangka bau itu datang daripada bangkai biawak, langsung tidak menyangka ia adalah mayat manusia,” katanya.

Dipercayai Maut Akibat Renjatan Elektrik

Pemeriksaan lanjut mendapati mayat tersebut terbaring di atas struktur bumbung berhampiran pendawaian elektrik. Polis turut menemui sepasang playar serta sebuah beg berisi dokumen peribadi berhampiran rangka berkenaan.

Hasil siasatan awal mengenal pasti mangsa sebagai Maikheu Chhean, 29, seorang warga Kemboja yang sebelum ini dilaporkan hilang.

Polis percaya mangsa mungkin meninggal dunia akibat renjatan elektrik selepas memanjat ke ruang siling untuk memotong wayar. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Institut Sains Forensik Pusat Thailand bagi menjalani siasatan lanjut untuk mengesahkan punca sebenar kematian. – The Malaysian Update

The post Disangka Bau Bangkai, Rangka Lelaki Warga Kemboja Ditemui Dalam Siling Rumah Di Thailand appeared first on The Malaysian Update.