Disangka resdung, rupanya hidap kanser hidung

LocalHealth & Fitness
21 Dec 2024 • 6:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ruhaiza (kanan) bersama kedua-dua anak perempuannya yang masih kecil.

image is not available
Anak-anak Ruhaiza mengetahui wanita itu sakit kanser hidung.

image is not available
Ruhaiza (kanan) melayani anak-anaknya di rumah mereka di Tumpat. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

TUMPAT - Alahan seperti selesema dan kerap bersin dialami awalnya disangkakan resdung, rupa-rupanya kanser hidung.

Itu derita dilalui seorang suri rumah, Ruhaiza Mohd Razali, 36, yang disahkan menghidap penyakit itu pada Mei lalu.

Katanya, semasa masih tinggal di Johor Bharu, Johor, alahan pada bahagian dalam hidungnya semakin teruk dengan keadaan kahak yang banyak dan keluar bersama darah.

“Pada Februari, saya ke Klinik Kesihatan Tebrau kerana kahak berdarah itu dan dirujuk ke Hospital Sultan Ismail di Johor untuk rawatan serta pemeriksaan lanjut.

“Doktor membuat pemeriksaan menggunakan kamera ke dalam hidung mendapati ada ketulan seperti daging dan tisu itu diambil untuk ujian biopsi sebelum disahkan sebagai kanser tahap tiga,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Misi Bantuan Banjir oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Himpunan Kanser Semalaya (HKS) di Kampung Tujuh, di sini pada Sabtu.

Ibu dua anak itu memberitahu, dia amat terkejut dengan keputusan ujian terbabit namun tidak berputus asa dan masih mengharapkan kesembuhan.

Dia juga sudah menjalani enam kali sesi kemoterapi dan 35 pusingan radioterapi sebagai ikhtiar rawatan penyakit itu.

“Awalnya memang sangat terkejut sebab saya ingatkan alahan saya ini hanya resdung rupanya bukan.

“Saya juga tidak ada sejarah ahli keluarga yang menghidap kanser,” katanya kini berpindah di Kelantan dan tinggal bersama ibu bapanya di kampung berkenaan.

Katanya lagi, tubuh badannya juga kini cepat menjadi lesu manakala lelangitnya pula selalu kebas hingga sukar untuk menelan makanan keras.

“Kalau makan saya terpaksa selang seli dengan air sementara suara saya pula semakin hari semakin tiada.

“Saya akan lakukan ujian biopsi sekali lagi pada hujung bulan ini untuk mengetahui tahap terbaharu kanser ini dan berharap akan sembuh untuk meneruskan kehidupan bersama suami selain anak-anak yang masih kecil berusia empat serta enam tahun,” katanya.