Disangka Warga Palestin, Lelaki Tembak 2 Pelancong Dari Israel Di Miami Beach

WorldPolitics
18 Feb 2025 • 2:57 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Pembantaian Palestin oleh rejim Zionis telah menjadi isu antarabangsa apabila sentimen berkaitan dibawa keluar daripada rantau tersebut.

Selain kebencian yang ditunjukkan oleh masyarakat dunia terhadap rejim Zionis atas kekejamannya, wujud juga sentimen anti-Semitik yang diwujudkan oleh golongan tertentu.

Ini menyebabkan wujudnya kepercayaan bahawa terdapat tindakan yang dilakukan adalah semata-mata untuk menyerang penduduk Israel.

Lelaki Yahudi Dituduh Cuba Membunuh 2 Pelancong Israel Disangkakan Rakyat Palestin

Baru-baru ini, media melaporkan seorang lelaki berbangsa Yahudi berhadapan tuduhan cubaan membunuh setelah didakwa menembak dua pelancong yang disangkakan rakyat Palestin. Namun, siapa sangka dua pelancong berkenaan sebenarnya berasal dari Israel.

Berdasarkan dokumen penangkapan, rakaman video CCTV menyaksikan Mordechai Brafman, 27, turun dari traknya dan menembak menggunakan pistol separa automatik ke arah sebuah kenderaan yang melalui di hadapannya.

Dia didakwa melepaskan tembakan sebanyak 17 kali yang mengenai bahu kiri seorang mangsa dan bahagian bawah lengan seorang lagi.

Insiden itu dilaporkan berlaku sekitar jam 9.30 malam pada Sabtu lalu (15 Februari) di Miami Beach, Florida, Amerika Syarikat.

Setakat semalam (17 Februari), Brafman dilaporkan ditahan di penjara Miami-Dade atas dua cubaan membunuh darjah kedua.

Pelaku Sangka Telah Membunuh 2 Individu Disangkakan Rakyat Palestin

Menurut laporan Guardian, Brafman ketika dalam tahanan secara spontan memberitahu detektif bahawa dia sedang memandu trak sebelum ternampak “dua warga Palestin dan menembak serta membunuh mereka berdua.”

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mengesahkan sama ada kedua-dua mangsa merupakan rakyat Palestin.

Namun Miami Herald melaporkan mereka berdua merupakan dua pelancong dari Israel iaitu Ari Rabey bersama bapanya.

Mangsa Sangka Pelaku Adalah Berbangsa Arab

Apa yang lebih menarik perhatian apabila Rabey pula menyangkakan dia dan bapanya menjadi mangsa tembakan seorang individu berbangsa Arab.

Menerusi hantaran di Facebook, Rabey mendakwa dia dan bapanya menjadi mangsa fahaman anti-Semitik.

Hantarannya itu seolah-olah menyalahkan golongan Arab apabila berkata, “Kematian ke atas orang Arab”.

Dia turut berkongsi gambar dirinya berada di hospital Miami Jackson dan keadaan kenderaannya jenis Hyundai yang mempunyai bekas tembakan.

“Ironi Apabila Pelaku & Mangsa Merupakan Pro-Israel” – CAIR National

Akibat insiden tembakan tersebut, The Council on American-Islamic Relations’ di Florida telah meminta agar tuduhan persekutuan jenayah kebencian (federal hate crime charges) dikenakan.

“Amat ironi dan penting bahawa kedua-dua didakwa pelaku pro-Israel dan mangsa pro-Israel dalam tembakan di Miami Beach dilaporkan mempunyai pandangan rasis anti-Palestin,” kata Pengarah Eksekutif CAIR National, Nihad Awad.

“Ini merupakan contoh terkini tentang kebencian yang disasarkan ke atas komuniti Palestin-Amerika di negara ini dan rakyat Palestin di tanah air mereka. Pembuat dasar di negara kita perlu henti memupuk kebencian anti-Palestin yang menyebabkan genosid di Gaza dan jenayah kebencian di Amerika,” katanya.

Source:

View Original Article