Disiplin fiskal perkukuh pertahanan kejutan geopolitik

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 9:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu.

KEADAAN ketidaktentuan ekonomi global yang semakin memuncak mendorong pentadbiran negara merangka pelbagai alternatif untuk memperkukuh asas fiskal dan meningkatkan daya tahan ekonomi.

Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menekankan kepentingan perbelanjaan awam secara berhemah hadir tepat pada masanya, selari dengan penilaian risiko yang dijalankan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour mengenai impak konflik geopolitik terhadap ekonomi domestik.

Dengan situasi konflik di Asia Barat, tekanan terhadap harga minyak dan rantaian bekalan berpotensi memberi kesan langsung kepada inflasi serta pertumbuhan ekonomi.

Pendekatan berjimat yang sedang dilaksanakan kerajaan dilihat sebagai langkah proaktif untuk memastikan sumber negara dimanfaatkan secara optimum manakala penilaian oleh Bank Negara Malaysia pula menggariskan risiko yang lebih luas.

Konflik geopolitik bukan sahaja meningkatkan kos tenaga, malah mempercepatkan tekanan inflasi melalui kenaikan premium insurans penghantaran dan gangguan logistik global.

Senario yang dibangunkan oleh bank pusat daripada konflik jangka pendek hingga berpanjangan melebihi enam bulan menunjukkan tahap ketidakpastian yang tinggi dalam unjuran ekonomi.

Unjuran harga minyak antara AS$70 (RM283) hingga melebihi AS$110 (RM445) setong menggambarkan potensi turun naik yang ketara.

Sekiranya senario pesimistik melebihi enam bulan menjadi kenyataan, Malaysia berdepan risiko inflasi lebih tinggi serta pertumbuhan yang terjejas walaupun unjuran semasa kekal pada kadar 4.0 hingga 5.0 peratus.

Pasaran kewangan juga dijangka lebih berhati-hati dengan kecenderungan menghindar risiko yang boleh mengetatkan keadaan kewangan domestik.

Langkah penyelarasan subsidi serta sasaran defisit fiskal yang lebih terkawal memberi ruang kepada kerajaan untuk bertindak balas terhadap kejutan luaran.

Gabungan pendekatan fiskal berhemah dan pemantauan rapi risiko global adalah kritikal dalam memastikan ekonomi Malaysia kekal stabil.

Dalam landskap global yang tidak menentu, keupayaan untuk bertindak awal dan berstrategi akan menjadi penentu utama daya tahan ekonomi negara.