
KUALA LUMPUR - Orang ramai berpeluang menikmati diskaun 50 peratus untuk tol sempena sambutan Aidilfitri akan datang.
Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah berkenaan bertujuan meringankan beban kewangan rakyat yang mahu pulang ke kampung halaman.
Menurut beliau, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk menyokong orang ramai semasa tempoh perayaan, terutamanya di tengah-tengah peningkatan jumlah perjalanan di seluruh negara.
"Inisiatif ini melibatkan komitmen kewangan sebanyak RM21.03 juta untuk memberi pampasan kepada pemegang konsesi tol.
"Diskaun ini akan berkuat kuasa dari 12.01 pagi, 18 Mac 2026 (Rabu) hingga 11.59 malam, 19 Mac 2026 (Khamis), meliputi kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua)," katanya.
Jelas Perdana Menteri, pengurangan sementara ini dijangka memberi manfaat kepada jutaan pemandu kenderaan memandangkan jumlah trafik melonjak menjelang Hari Raya Aidilfitri, dengan ramai yang memilih untuk bergerak awal bagi mengelakkan kesesakan puncak.
“Langkah ini menggariskan pendekatan kerajaan yang lebih luas untuk menguruskan perjalanan musim perayaan sambil menyediakan pelepasan kos yang disasarkan kepada pengguna jalan raya di seluruh negara,” katanya.
Menerusi kenyataan sama, Anwar berkata, Kerajaan MADANI telah mengambil pendirian tegas untuk melindungi kebajikan rakyat sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal, khususnya tatkala ekonomi dunia berdepan ketidaktentuan.
Sejak awal Ramadan katanyq, pelbagai ikhtiar telah dilaksanakan untuk meringankan beban rakyat, termasuk cuti tambahan Aidilfitri, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (14–28 Mac 2026) dan bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2, melibatkan RM1.3 bilion kepada 5.2 juta penerima.
“Dalam semangat Aidilfitri yang mengangkat nilai ihsan, sekitar 4,000 individu termasuk ibu dan bapa tunggal juga akan dibebaskan daripada kebankrapan.
“Pada masa sama, saya ulangi seruan agar rakyat berbelanja secara berhemah sepanjang Syawal dan mengurus kewangan secara berdisiplin sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan masa hadapan,” katanya. - Getaran, 17 Mac 2026
