
KUALA LUMPUR 19 Dis – Kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol sebanyak 50% daripada kadar biasa selama dua hari, iaitu pada 23 dan 24 Disember 2025, sempena sambutan Hari Krismas yang akan diraikan Khamis hadapan.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pemberian diskaun tol itu selaras dengan semangat perpaduan Malaysia MADANI serta bertujuan meringankan kos perjalanan rakyat, khususnya pengguna kenderaan persendirian yang merancang pulang ke kampung halaman atau bercuti bersama keluarga.
Menurut beliau, diskaun tersebut akan diberikan kepada kenderaan Kelas 1 di semua plaza tol di seluruh negara, termasuk kenderaan Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang, kecuali di plaza tol pintu masuk sempadan antarabangsa.
“Antara plaza tol yang dikecualikan ialah Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kerajaan akan menanggung implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya bertol yang terlibat susulan pelaksanaan diskaun tol berkenaan.
Mengulas lanjut, Alexander berkata pemilihan tarikh 23 dan 24 Disember adalah sebahagian daripada inisiatif penyuraian trafik sempena musim perayaan dan cuti sekolah, khususnya bagi mengurangkan kesesakan pada waktu puncak perjalanan balik ke kampung dan kembali ke bandar.
“Langkah ini juga bertujuan mengoptimumkan pengoperasian kawasan hentian sebelah serta kawasan Rehat dan Rawat (RSA) di sepanjang lebuh raya,” katanya.
Sehubungan itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) menggalakkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan aplikasi TuJU Highway Navigation App LLM dan MyPLUS-TTA.
Pengguna lebuh raya turut dinasihatkan supaya mematuhi jadual perjalanan yang disyorkan serta sentiasa mengutamakan keselamatan dengan mematuhi had laju, papan tanda dan peraturan lalu lintas sepanjang perjalanan. - DagangNews.com


