Disney kini mengumumkan mereka akan mendapatkan pegangan ekuiti sebanyak 2% pada platform komik atas-talian terkemuka, Webtoon. Untuk makluman, Webtoon merupakan perkhidmatan komik dibawah Naver berpusat di Korea Selatan, dan menawarkan pelbagai komik dibawah mereka, termasuk yang diterbitkan oleh pelukis sendiri melalui platform tersebut.
Selari dengan pelaburan ini, kedua-dua syarikat juga turut akan hadir dengan sebuah perkhidmatan baharu yang akan menawarkan katalog komik penuh milik Disney. Disney mempunyai sebanyak lebih 35,000 komik dibawah mereka, termasuk tajuk popular dibawah siri Marvel dan Star Wars. Dengan aplikasi baharu ini kelak, pengguna boleh mengakses semuanya dengan hanya satu langganan sahaja.
Langkah ini dilihat akan membolehkan Disney terus mencapai pengguna melalui platform atas-talian – salah satu cabaran yang dialami oleh Disney yang kehilangan sedikit demi sedikit pengguna dan peminat mereka disebabkan oleh pelbagai platform dan kandungan yang ditawarkan secara atas talian.
Webtoon sendiri mempunyai beberapa perkhidmatan popular dibawah mereka, dan salah satunya adalah Wattpad yang memfokuskan penulisan cerita. Pelbagai kisah yang diterbitkan di Webtoon dan Wattpad turut telah sedia diadaptasi kepada bentuk siri-TV dan filem sebelum ini.
