Disney kini sedang berhadapan dengan saman mahkamah terbaru yang melibatkan kes imbasan wajah pelawat di dua lokasi taman tema mereka, Disneyland dan juga California Adventure di California.
Pada bulan April tahun ini, Disney telah mengimplimentasi sistem imbasan wajah di pintu masuk kedua-dua lokasi taman tema tersebut, dan nampaknya tidak memberi pengumuman yang mencukupi untuk memberitahu pelawat, khususnya kanak-kanak bahawa wajah mereka diimbas di lokasi-lokasi tersebut, dan untuk apa imbasan tersebut digunakan.
Oleh kerana ini, Disney telah disaman di mahkamah California, dengan saman tindakan bersama (class action lawsuit) yang mana pihak pendakwaan mahu Disney membayar pampasan sebanyak $5 juta (~RM20 juta) kepada pelawat-pelawat yang terlibat dalam kes saman ini.

Disney mengatakan bahawa sistem imbasan wajah tersebut digunakan untuk memudahkan pengesahan pelawat yang masuk untuk kali pertama dan mereka yang memasuki kawasan taman tema sekali lagi untuk mengelakkan penipuan, tetapi ia dikatakan bahawa pengguna tidak diberitahu bahawa maklumat ini disimpan oleh pihak Disney.
Menurut terma yang ditetapkan oleh Disney, data yang dikumpul melalui imbasan wajah ini disimpan selama 30 hari untuk membantu dalam kes-kes yang boleh membantu dalam mengesahkan kes-kes penipuan dan sebagainya, tetapi data imbasan tersebut akan dilupuskan selepas tempoh tersebut.
Akan tetapi, saman tersebut turut mengatakan bahawa kenyataan ini mungkin tidak benar kerana rakaman sama digunakan untuk mereka yang membeli tiket lebih awal dan mereka yang membeli pas tahunan untuk melawat taman-taman tema tersebut, yang mana ia adalah mustahil untuk data tersebut dipadamkan selepas tempoh 30 hari.


