
Disyaki Dicuri, 7 Anjing Tempuh Perjalanan 17km Pulang Ke Pangkuan Pemilik
Kehilangan haiwan peliharaan merupakan satu momen yang sangat menyedihkan buat pemiliknya, apatah lagi apabila melibatkan kes kecurian yang sukar dijangka.
Baru-baru ini, tular satu kisah mengenai tujuh ekor anjing di China yang telah dicuri namun berjaya pulang semula ke pangkuan pemiliknya.
Lebih mengharukan, kesemua anjing itu pulang bersama-sama selepas berjaya membebaskan diri daripada pencuri yang disyaki bekerja di sebuah kedai daging anjing.
Menurut South China Morning Post, kisah itu tular apabila seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Lu berkongsi rakaman video tujuh ekor anjing berjalan di sepanjang lebuh raya yang sibuk di Changchun, Wilayah Jilin pada 16 Mac.
Tempuh perjalanan bersama-sama
Dalam rakaman itu, sekumpulan anjing dilihat mengepung seekor anjing baka German Shepherd yang cedera. Manakala seekor anjing Corgi di hadapan berulang kali menoleh ke belakang untuk memastikan tiada yang tertinggal.
Baka anjing lain yang berada di situ termasuk Golden Retriever, Labrador dan Pekinese.
Lu memberitahu saluran media China, Dahe Daily bahawa anjing-anjing itu seperti sekumpulan adik-beradik kecil yang dalam kesusahan. Ia bergerak serentak, tidak seperti anjing liar lain.
Walaupun dia sendiri cuba beberapa kali untuk membimbing kesemua anjing itu ke tempat yang lebih selamat, anjing-anjing tersebut tidak mengendahkannya.
Dia kemudian berkongsi video itu itu Douyin, menggesa pihak berkuasa tempatan untuk campur tangan.
Sementara itu, seorang lagi pengguna jalan raya yang lalu-lalang merakam anjing-anjing terbabit berkeliaran di padang berdekatan.
Bitter Coffee Stray Dog Base tempatan melaporkan bahawa anjing-anjing itu berasal dari kampung yang sama. Biasanya ia berkeliaran bebas bersama-sama dan menjalin persahabatan yang erat.
Sebagai tindak balas, pengkalan itu menghantar beberapa sukarelawan dan juga sebuah dron untuk mengesan anjing-anjing itu dan memudahkan mereka pulang dengan selamat.
Baca juga:
Hilang Beberapa Hari, Kucing Pulang Ke Rumah Dengan Kesan ‘Serangan Seksual’ Sebelum Mati 3 Hari Kemudian
Kucing Pulang Ke Rumah Bersama Nota, ‘Ugutan’ Pada Nota Buat Pemiliknya Bingung Dan Takut
Dalam pada itu, seorang sukarelawan mendakwa bahawa individu yang mengendalikan kedai daging anjing telah mencuri anjing-anjing tersebut.
Anjing-anjing itu juga dikatakan telah melarikan diri dari sebuah trak, walaupun tiada saksi melihat pemergian mereka.
Seorang sukarelawan memaklumkan kepada Jimu News pada 19 Mac bahawa ketujuh-tujuh ekor anjing itu telah dikembalikan kepada pemilik masing-masing, yang berasal dari tiga isi rumah yang berbeza.
Lebuh raya tempat Lu pertama kali ternampak haiwan itu terletak kira-kira 17 kilometer dari kampung mereka.

Seorang pemilik melahirkan rasa lega kerana anjing-anjingnya yang hilang telah pulang ke rumah.
"Kami sangat bernasib baik kerana mereka kembali, bukan untuk dimakan," katanya.
Setakat ini, tiada maklumat tambahan yang diperoleh mengenai pencuri anjing tersebut.
Di China, kecurian anjing dianggap sebagai kesalahan jenayah, dengan hukuman termasuk denda atau penjara berdasarkan nilai haiwan tersebut.
Ketika ini, undang-undang di China tidak secara jelas melarang pengambilan daging anjing, walaupun Shenzhen menjadi antara bandar pertama di tanah besar China yang mengharamkan pemakanan kucing dan anjing pada tahun 2020.
Walaupun terdapat kontroversi, beberapa restoran daging anjing masih beroperasi di utara China. Semasa musim sejuk yang panjang, penduduk tempataan percaya bahawa memakan daging anjing memberikan kehangatan dan khasiat.
