Disyaki Meninggal Dipukul Koperal, Bapa Prebet Amirul Raziq Sukar Maafkan Pelaku

LocalPolitics
12 Apr 2026 • 12:22 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

“Dalam soal memaafkan, ketika ini saya rasa berat lagi….”

Demikian luahan Rosafindi Tambi Chik, 49, bapa kepada Allahyarham Prebet Muhammad Amirul Raziq, 24, yang meninggal dunia selepas parah dibelasah di Kem Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja di Pahang, Isnin lalu.

Bapa mana tak sayang anak…

Memetik laporan daripada Berita Harian, pesara tentera itu menyatakan kes melibatkan anaknya masih dalam siasatan dan dia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Bapa mana tak sayang anak, kita ada Tuhan. Dalam kes ini, kita boleh berfikir, kalau perkara itu (tuduhan) betul, biarlah dia tanggung dan kalau tak betul, kami reda dengan pemergian anak,” tambahnya.

image is not available

 

Mengimbas kembali detik menerima berita duka, Rosafindi memaklumkan dia dan keluarga dimaklumkan mengenai keadaan anaknya oleh pihak hospital.

“Malam itu (ketika tiba di hospital), kami dimaklumkan keadaan anak tak berapa stabil. Untuk perkembangan selanjutnya, kami diminta datang semula jam 8 pagi esoknya.
“Apabila kami sampai, doktor maklumkan anak dalam keadaan sangat kritikal dan minta saya serta ahli keluarga bersedia.
“Bagaimanapun sejam selepas itu, kami dimaklumkan anak sudah tak ada,” katanya.

image is not available

 

Beliau ditemui pemberita selepas pengebumian jenazah Muhammad Amirul Raziq di Pusara Damai FELDA Sungai Kelamah, awal pagi tadi.

Menurutnya, sepanjang berkhidmat, arwah jarang berkongsi sebarang masalah berkaitan tugas.
“Sebagai bekas tentera, saya faham sebagai anggota baharu dalam pasukan, banyak perkara perlu dia belajar dan perlu bersabar,” katanya.

Pelaku ditahan & ditempatkan di Penjara Bentong

Menyentuh mengenai Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) yang didakwa terlibat, Rosafindi memaklumkan individu tersebut telah ditahan dan kini ditempatkan di Penjara Bentong.

image is not available

Terdahulu, media melaporkan Muhammad Amirul Raziq meninggal dunia kira-kira jam 9.45 pagi selepas hampir dua minggu koma di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh.

Kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan seorang anggota PTTR berusia 37 tahun yang didakwa menggunakan kekerasan akibat tidak berpuas hati terhadap tugasan yang diarahkan.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Berita Harian (Mohd Amin Jalil)

The post Disyaki Meninggal Dipukul Koperal, Bapa Prebet Amirul Raziq Sukar Maafkan Pelaku appeared first on Borak Daily.