Ditawar Kerja Tidak Wujud, Influencer Dari Sibu Terpedaya Hampir RM 17K

14 Mar 2023 • 7:52 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Penipuan dalam talian di Sarawak semakin berleluasa.

Ditawar Kerja Tidak Wujud, Influencer Dari Sibu Terpedaya Hampir RM 17K. Semakin berleluasa, penipuan secara dalam talian kini dilihat kerap berlaku dan ramai yang sudah terpedaya dengan sindiket-sindiket ini.

Dilaporkan bahawa seorang influencer media sosial di Sibu telah mengalami kerugian sebanyak RM16,799 selepas tertarik dengan iklan kerja kosong sebagai ‘Live-Host’ di laman Facebook.

image is not available
Ditawar Kerja Tidak Wujud, Influencer Dari Sibu Terpedaya Hampir RM 17K

Terima tawaran pekerjaan

Influencer wanita berusia 28 tahun yang berhasrat menambah pendapatan telah menerima tawaran berkenaan dan menghubungi suspek yang menawarkan komisen sebanyak RM1,000 minimum 30 jam seminggu.

Menurut Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili, pihak beliau menerima laporan polis daripada mangsa yang terperdaya dengan tawaran kerja dalam talian menerusi aplikasi Facebook pada jam 10.40 pagi Ahad lalu.

Dikatakan bahawa mangsa yang bekerja sebagai influencer media sosial itu telah diminta untuk mendaftar maklumat peribadi serta dikenakan caj RM1 sebagai yuran pendaftaran dalam satu aplikasi bagi mendapatkan kerja ditawarkan.

image is not available

Mangsa mengisi maklumat perbankan termasuk ID serta kata laluan

Kemudian, mangsa bertindak mengisi maklumat perbankan termasuk ID serta kata laluan membayar caj pendaftaran melalui aplikasi diberikan namun menerima mesej menyatakan proses tersebut gagal.

Seterusnya, mangsa telah menerima mesej notifikasi terdapat transaksi pemindahan wang berlaku tanpa pengetahuan mangsa lalu menyedari dirinya diperdaya. Wang dalam akaun bank miliknya pula hilang dan mangsa terus membuat laporan polis pada Ahad lalu.

Keseluruhan jumlah kerugian dialami mangsa berjumlah RM16,799, manakala kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

image is not available

Oleh demikian, pihak polis menasihati orang ramai agar tidak mudah terperdaya dan terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.

Orang ramai juga boleh membuat semakan dengan balai polis terdekat atau membuat semakan di http://semakmule.rmp.gov.my, CCID Infoline di talian 013-2111222, CCID Response Centre di talian 03- 26101559/03-26101599 atau Facebook CyberCrimeAlertRMP dan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

Lagi berita terkini buat anda di sini: