
Ditemui Tak Sedarkan Diri Dalam Kereta, Lelaki Berjaya Diselamatkan
SHAH ALAM — Seorang lelaki ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi semalam, lapor Sinar Harian.
Difahamkan, kejadian dilaporkan berlaku di sebuah pasar raya di Bandar Setia Alam.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, kejadian disedari oleh orang awam sebelum menghubungi pihaknya pada jam 7.54 malam.
“Mangsa berusia 28 tahun berasal dari Kota Bharu Kelantan itu dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian pemandu di dalam kereta berkenaan.
“Tindakan pantas daripada semua pihak berjaya menyelamatkan mangsa dan dia dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan selanjutnya,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Iqbal, tiada sebarang unsur jenayah dan pemeriksaan ke atas tubuh mangsa dapati tiada sebarang kecederaan fizikal selepas hasil siasatan dilakukan oleh pihak polis.
“Sehingga kini, kita masih belum merakam keterangan mangsa, keadaannya stabil, namun masih lemah. Kes masih dalam siasatan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Ketua Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam Inspektor Izzman Mohd Idrus ditalian 013-4003355 bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Bayi Perempuan Maut Tertinggal Dalam Kereta
Pada 25 Oktober lalu, Bernama melaporkan seorang bayi perempuan berusia setahun empat bulan ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai ditinggalkan di dalam kereta di sebuah universiti awam di Kuala Nerus.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abd Rahim Md Din berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 4.30 petang selepas bayi terbabit dibawa ke pusat kesihatan pelajar di universiti berkenaan.
“Dalam hal ini, bedah siasat telah dijalankan di hospital (Hospital Sultanah Nur Zahirah) malam tadi dan sebab kematian belum diperoleh kerana masih menunggu analisis makmal,” katanya ketika dihubungi.
Abd Rahim berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas bapa bayi terbabit terlupa untuk menghantar anaknya itu ke pusat asuhan kanak-kanak universiti berkenaan pada sebelah pagi.
Sumber: Sinar Harian
The post Ditemui Tak Sedarkan Diri Dalam Kereta, Lelaki Berjaya Diselamatkan appeared first on Siakap Keli.



