
KUALA LUMPUR - Parti Cinta Sabah (PCS) yang diasaskan bekas menteri luar, Tan Sri Anifah Aman menjadi parti terbaharu yang diterima sebagai parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Perkara itu diumumkan Anifah dalam kenyataan media, yang berkata ia merupakan keputusan sebulat suara untuk menerima PCS menjadi sebahagian daripada parti dalam kerajaan.
“PCS berkongsi visi dan misi yang sama dengan GRS demi Sabah dan rakyat negeri ini. Lagipun, PCS adalah parti tempatan Sabah dan oleh yang demikian, kami melihat rumah kami di GRS yang merupakan entiti politik tempatan yang telah lama dibayangkan oleh penduduk Sabah.
“Sebagai sebuah parti politik tempatan, ia adalah didalam DNA politik PCS untuk memperjuangkan hak Sabah dan segala kepentingan yang terbaik untuk negeri dan rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, Anifah berkata biarpun PCS masih baharu namun parti itu berkembang dari segi kekuatan, kebijaksanaan, dan kematangan dalam perjalanan politik terutama memperjuangkan hak rakyat Sabah.
“Saya memberi jaminan bahawa PCS akan bekerja keras untuk memastikan GRS akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai blok kuasa politik yang mencerminkan identiti rakyat Sabah dari semua etnik dan kepercayaan,” katanya.
GRS kini mempunyai lapan parti komponen iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah, USNO, Parti Bersatu Sabah, Parti Demokratik Liberal, Parti Maju Sabah, Parti Harapan Rakyat Sabah, Sabah Star dan Parti Cinta Sabah.
Anifah menjadi presiden PCS pada 26 Julai 2020, selepas keluar dari Umno pada 2018.
Pada September 2020 PSC bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) buat pertama kalinya namun gagal memenangi sebarang kerusi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Anifah menyatakan sokongan ke atas Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Getaran, 23 Mei 2024

