Ditrolic Energy terima sokongan pelaburan BlackRock Climate Finance Partnership

Business & Finance
31 Jan 2024 • 6:24 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ditrolic Energy terima sokongan pelaburan BlackRock Climate Finance Partnership

herman

31/01/2024 - 18:24

KUALA LUMPUR 31 Jan - Syarikat pembangunan tenaga boleh baharu, Ditrolic Energy Holdings Sdn. Bhd. (Ditrolic Energy) menerima sokongan pelaburan daripada firma pengurusan aset global, BlackRock menerusi Climate Finance Partnership (CFP).

Sokongan pelaburan itu bagi membiayai aset solar berskala utiliti Ditrolic Energy serta pembinaan industri dan komersial (C&I) untuk pasaran di seluruh Asia Pasifik.

Menurut Ditrolic Energy, perkongsian ini bertujuan membina projek solar berskala 1 GigaWatt (GW) dan meningkatkan jumlah kapasiti projek solar kepada lebih 5GW di Malaysia, Bangladesh, Indonesia dan Filipina.

Perkongsian ini juga membolehkan pelaburan dan pengembangan Penyelesaian Tenaga Bersih 360, EnerLoop menerusi teknologi untuk penjejakan karbon, sistem penyimpanan tenaga bateri dan jualan elektrik tenaga boleh baharu.

"Dengan kerjasama baharu ini, Ditrolic Energy berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pelaburan dengan secara aktif terlibat dalam projek peralihan tenaga utama di rantau Asia Pasifik.

"Ini termasuk program Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dengan Ditrolic Energy merancang untuk menggerakkan sejumlah besar modal pelaburan swasta bermatlamatkan untuk mempercepatkan dan mengurangkan kos berkaitan peralihan tenaga untuk negara," kata syarikat itu.

image is not available
Dr. Valerie Speth (dua dari kiri) dan Tham Chee Aun bersama pengurusan Ditrolic Energy.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ditrolic Energy, Tham Chee Aun berkata, sokongan BlackRock membolehkan Ditrolic Energy meningkatkan sokongan peralihan ekonomi rendah karbon yang mana Ditrolic Energy komited untuk mengambil peranan penting dalam peralihan tenaga di Asia.

"Dengan modal yang diperoleh, Ditrolic Energy akan berada dalam kedudukan utama untuk melaksanakan projek peralihan tenaga utama di Malaysia dan negara Asia Tenggara yang lain,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

CFP ialah perkongsian unik antara BlackRock dengan kerajaan Perancis (AfD), Jerman (KFW) dan Jepun (JBIC) melalui institusi kewangan pembangunan masing-masing. Turut terlibat, organisasi peneraju di Amerika Syarikat (AS).

CFP menghimpunkan sektor awam, swasta dan dermawan untuk menggerakkan modal ke dalam infrastruktur iklim dengan menyasarkan pelaburan di negara Asia, Amerika Latin dan Afrika.

Sementara itu, Ketua Bersama Infrastruktur Iklim APAC, BlackRock, Dr Valerie Speth berkata, Ditrolic Energy memegang rekod prestasi pembangunan solar yang terbukti di rantau yang pelbagai ini.

"Perkongsian kami menyajikan peluang untuk menggerakkan lebih banyak modal ke dalam infrastruktur iklim dalam pasaran baru muncul dan mempercepatkan cita-cita negara untuk mencapai ekonomi bersih,” katanya. - DagangNews.com

View Original Article